Powered by Blogger.

Tuesday, November 22, 2011

RM4.6 Juta Urus 246 Kanak-Kanak di 6 Institusi di Sarawak

  NR       Tuesday, November 22, 2011

KUCHING 21 Nov. - Kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membelanjakan sebanyak RM4.6 juta bagi menguruskan 246 kanak-kanak yang berada di enam institusi kanak-kanak sehingga pertengahan bulan ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata, ia membuktikan kerajaan mengambil berat tentang kesejahteraan kanak-kanak sama ada yang terdedah atau mengalami penderaan, pengabaian, eksploitasi, bahaya moral dan kesalahan jenayah.

Disebabkan itu katanya, perkhidmatan seperti perlindungan, pemeliharaan dan pemulihan yang diberikan kepada kanak-kanak tersebut akan terus dimantapkan melalui penyertaan yang lebih berkesan daripada masyarakat setempat.

''Peranan Jawatankuasa Kebajikan Kanak-Kanak Daerah (JKKD), Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK), Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) serta Lembaga Pelawat di institusi kanak-kanak JKM akan terus diperkasakan," katanya pada Sesi Penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kompleks DUN Baru, di sini, hari ini.

Sementara itu Fatimah berkata, sejajar dengan Dasar Kebajikan Masyarakat Negara untuk memupuk budaya penyayang di kalangan masyarakat, kerajaan negeri telah menyalurkan geran sebanyak RM936,450 kepada 45 pertubuhan sukarela kebajikan bagi melaksanakan program-program kebajikan berasaskan masyarakat.

Katanya, untuk tujuan yang sama, Kerajaan Persekutuan turut menyalurkan geran sebanyak RM1.5 juta bagi membantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengurus serta menyelenggara institusi kediaman mereka.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading RM4.6 Juta Urus 246 Kanak-Kanak di 6 Institusi di Sarawak

Previous
« Prev Post

No comments: