MIRI: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan
Air kini dalam proses bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk
memperkenalkan subjek teknologi hijau dalam sukatan pelajaran.
Menterinya, Datuk Seri Peter Chin berkata,
setakat ini kedua-dua kementerian masih mengkaji sama ada untuk melaksanakan
sukatan itu di sekolah rendah ataupun sekolah menengah.
Menurut Chin, walaupun sudah ada subjek Alam
Manusia, namun teknologi hijau wajar diajar kepada generasi muda untuk mendidik
mereka mengenai isu global seperti perubahan suhu dunia dan pelepasan
asap.
“Usaha menangani kesan pelepasan asap dan gas
terhadap alam sekitar amat penting. Dengan adanya subjek ini di sekolah, kita
dapat meningkatkan kesedaran di kalangan generasi muda untuk sama-sama
melindungi alam sekitar daripada pencemaran,” katanya berucap pada majlis makan
malam Persatuan Teknologi dan Kejuruteraan (TEA) Kawasan Utara Sarawak di
sebuah hotel di sini, malam kelmarin.
Chin memberitahu, langkah memperkenalkan subjek
teknologi hijau secara formal ini diharap dapat melahirkan masyarakat yang
dapat menjaga alam sekitar sama ada dalam kehidupan harian atau apabila
memasuki alam pekerja nanti.
“Kerajaan serius dalam menangani isu berkaitan
alam sekitar. Justeru satu daripada cara yang efisien ialah menerusi pendidikan
awal di sekolah,” katanya.
Mengenai permohonan peruntukan TEA Cawangan
Miri untuk membiayai siri animasi bagi meningkatkan kesedaran generasi
mengenai alam sekitar, Chin berkata kementeriannya akan mempertimbangkan
permintaan tersebut.
“Kami akan melihat cara mana untuk menyalurkan
peruntukan, walaupun tidak membiayai kesemua 13 siri tersebut, kami mungkin
akan beri sebahagian peruntukan,” katanya.
Beliau turut memuji TEA Utara Sarawak yang
mengambil inisiatif seumpama ini dalam membantu kerajaan mendidik orang awam
betapa pentingnya menjaga alam sekitar.
- UB
No comments:
Post a Comment