UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) memastikan status jagoan sirkit universiti milik mereka tidak tergugat setelah menguasai dua tempat teratas kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Karnival Sepak Takraw Kebangsaan UiTM-Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 2011 baru-baru ini.
Dibimbing Zaidi Ismail, regu UiTM B menewaskan rakan sepasukan, E 2-1 (6-15, 15-12, 15-10) sambil kedua-duanya membolot RM2,300 selain menguasai kategori Wanita apabila UiTM A menundukkan Pulau Pinang A 2-1 (6-15, 16-14, 15-10) dan ganjaran RM900.
Bagi kategori Bawah 18 Tahun, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) A seperti diduga selaku pilihan utama, menghampakan cabaran Pulau Pinang 2-1 (15-13, 10-15, 15-6) pada perlawanan akhir untuk mengaut ganjaran RM900.
Sekolah sukan nasional itu turut membolot dua tempat teratas kategori Bawah 15 Tahun dan ganjaran berjumlah RM1,150 setelah regu C mereka menewaskan regu D 15-13, 8-15, 15-11 pada perlawanan akhir.
Regu Utusan-Astro pula menjuarai kategori Media dengan meraih ganjaran RM1,000 setelah menewaskan RTM-Filem Negara, MDAG-RTM, Percetakan-Bolarotan dan Media Prima-Moto masing-masing dengan 2-0 (16-14, 15-12); (15-13, 15-7); (15-9, 15-13) dan (15-5, 15-10) dalam liga sepusingan.
Utusan-Astro membariskan Mohd. Shuib Ab. Latip (tekong), Muhamad Hairul Kusdi (pelibas) dan Alisaifuddin Kamis (pengumpan); naib juara dan RM750 dimenangi RTM-Filem Negara (Azmi Khamis, Manja Bah Lunggok, Muhammad Haffizul Ibrahim) dan ketiga serta RM500 milik MDAG-RTM (Daud Abdullah, Mohamad Naquib Idris, Wan Mohd. Noraffandi W. Mohd. Ghazali).
Hadiah karnival empat hari yang bernilai hampir RM15,000 selain ditaja Pallas Rejam ini disampaikan oleh Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Datuk Abdul Rahman Palil.
Sebanyak 75 regu menyertai karnival edisi ketiga ini dengan 12 bagi kategori Terbuka yang dimenangi PDRM A setelah menewaskan Baik Der B 15-12, 15-11, IPT (18), Bawah 18 (sembilan), Bawah 15 (22), Wanita (sembilan) dan Media (lima).
- Utusan
No comments:
Post a Comment