Powered by Blogger.

Thursday, November 24, 2011

UMS Peneraju Perubatan Desa di Sabah

  NR       Thursday, November 24, 2011

D. Kamaruddin D. Mudin memalu gong tanda perasmian persidangan Antarabangsa Perubatan Desa Ke-3 (ICORM) di Kota Kinabalu, semalam. - UTUSAN/GHAZALI BASRI


KOTA KINABALU 22 Nov. - Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu menjadi peneraju dalam pembangunan perubatan di kawasan-kawasan desa di negeri ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, langkah itu selaras dengan pelbagai fasiliti dan tenaga mahir yang dimiliki universiti berkenaan.

"Konsep Perubatan Desa bukanlah sesuatu yang baru, malah merupakan suatu aspek yang sangat luas merangkumi pelbagai pengkhususan seperti perubatan dalaman, surgeri, perubatan masyarakat dan banyak disiplin lain yang perlu diteroka dengan lebih mendalam.

"Jadi, semangat UMS untuk menjadi pentas perkongsian idea, pencetus ilham, pengolahan persepsi lama dan percambahan fikiran dari segi intelektual, persefahaman, pendidikan dan penyelidikan memang amat membanggakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan Pemangku Dekan Sekolah Perubatan UMS, Prof. Madya Dr. D. Kamaruddin D. Mudin sempena Persidangan Antarabangsa Perubatan Desa Ke-3 (ICORM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi penganjur persidangan, Prof. Madya Dr. Shamsul Bahari Samsudin.

Menurut Rosnah, lokasi penempatan yang jauh di kawasan luar bandar di negeri ini menyebabkan penduduk sukar mendapatkan rawatan di hospital.

Justeru katanya, konsep perubatan desa amat signifikan dalam memberikan perubatan terbaik kepada penduduk di kawasan luar bandar.

Mengulas mengenai persidangan perubatan kali ini, beliau berharap ia akan meletakkan nama UMS ke peringkat antarabangsa dalam bidang perubatan desa.

"Jadi segala usaha yang disemai UMS dalam menganjurkan persidangan perubatan ini sememangnya amat terpuji dan sesuai sekali dengan kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia yang mempunyai kawasan desa atau luar bandar yang luas," ujarnya.

- utusan
logoblog

Thanks for reading UMS Peneraju Perubatan Desa di Sabah

Previous
« Prev Post

No comments: