Powered by Blogger.

Saturday, November 19, 2011

UUM Buka Peluang Kepada Banduan Lanjut Pelajaran

  NR       Saturday, November 19, 2011
ALOR SETAR: Universiti Utara Malaysia (UUM) menawarkan peluang kepada penghuni penjara di negara ini untuk melanjutkan pelajaran bagi peringkat ijazah dan pasca siswazah.


Naib Canselornya Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata universiti itu akan menyediakan tempat jika ada permohonan daripada banduan dan mendapat persetujuan Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Penjara.
"UUM kini menjadi pilihan badan korporat, artis, agensi kerajaan, pengamal media dan ahli politik untuk melanjutkan pengajian mereka.
"Sekiranya ada permohonan daripada pihak Jabatan Penjara untuk membenarkan banduan melanjutkan pengajian, kami bersedia untuk bekerjasama ke arah itu," katanya dalam satu kenyataan, di sini, Jumaat.
Sementara itu Ketua Pengarah Penjara Datuk Zulkifli Omar yang diminta mengulas mengenai perkara tersebut, berkata pihaknya akan mengkaji cadangan berkenaan selepas mendapat persetujuan Kementerian Dalam Negeri.
Zulkifli berkata pihaknya melihat peluang seperti itu dapat memberi sinar baru kepada banduan, selain menjadikan penjara tempat untuk mereka membetulkan kesilapan akibat terbabit jenayah.
"Kami melihat penghuni penjara ini ada antara mereka yang disisihkan dan diabaikan oleh keluarga dan masyarakat dan berharap dengan usaha sebegini mereka akan mula diberi perhatian," katanya.
UUM sebelum ini telah menandatangani satu perjanjian persetujuan (MoA) dengan Jabatan Penjara bagi pelaksanaan program akademik peringkat pasca siswazah iaitu Diploma Siswazah Sains Koreksional.
Program diwujudkan khas sebagai kursus asas kepada timbalan penguasa penjara lantikan baru, selaras dengan keperluan jabatan itu bagi memastikan semua anggotanya dapat menguasai ilmu berkaitan dengan bidang pengurusan koreksional.
Program yang memfokuskan kepada pemulihan dan pengurusan koreksional itu adalah satu-satunya program pasca siswazah di negara ini. - BERNAMA, 4 Nov 2011

logoblog

Thanks for reading UUM Buka Peluang Kepada Banduan Lanjut Pelajaran

Previous
« Prev Post

No comments: