Powered by Blogger.

Saturday, November 19, 2011

Terengganu Ungguli Keputusan UPSR buat Kali Ke-11 Berturut-turut

  NR       Saturday, November 19, 2011

KUALA TERENGGANU - Terengganu mengungguli keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) buat kali ke-11 berturut-turut apabila 3,458 muridnya memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pelajaran Negeri, Razali Daud berkata, pencapaian itu cukup membanggakan memandangkan 15.6 peratus calon UPSR di negeri ini memperoleh 5A/7A, iaitu meningkat sebanyak 0.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Apa yang lebih membanggakan, gred purata negeri (GPN) adalah 2.14, iaitu terbaik yang pernah dicapai Terengganu sebelum ini iaitu pada 2007 dengan 2.18.

Menurutnya, sekolah luar bandar juga menunjukkan peningkatan yang cukup ketara dan mengungguli senarai sekolah berpencapaian tinggi.

“Daripada segi pencapaian, murid yang mendapat 4A/6A dan 1B adalah 2,345 orang iaitu sebanyak 10.3 peratus manakala mereka yang mendapat 5ABC/7ABC adalah seramai 10,319 orang, iaitu sebanyak 45.3 peratus.

“Murid yang mendapat gred D dan E pula adalah sebanyak 535 orang manakala lain-lain adalah 6,054 orang. Jumlah yang mendapat minimum C juga meningkat iaitu 71.1 peratus, berbanding 66.8 peratus pada 2010,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Pengumuman Keputusan UPSR 2011 di Bilik Mesyuarat Alamanda di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu di sini, semalam.

Jumlah calon seluruh Terengganu yang berdaftar adalah seramai 23,250 orang, iaitu 22,533 orang calon adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK), 434 orang calon dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 283 orang calon dari Sekolah Rendah Swasta (SRS).

Menurutnya Razali, secara keseluruhannya beliau berasa gembira dengan peningkatan pencapaian Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Melayu (Penulisan) dan Bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan yang meningkat peratusan yang mendapat A dan minimum C.

Katanya, pencapaian subjek Matematik dan Sains juga meningkat di SK dan SJKC, iaitu peningkatan yang mendapat A dan minimum C.

“Apa yang kita bimbangkan adalah pencapaian beberapa subjek di SJKC iaitu Bahasa Melayu (Pemahaman), Bahasa Melayu (Penulisan), Bahasa Inggeris, Bahasa Cina (Pemahaman) dan Bahasa Cina (Penulisan) mencatatkan penurunan.

“Kita akan lihat apa punca utamanya dan kita akan cuba baiki kelemahan yang ada kerana seboleh-bolehnya kita mahu semuanya cemerlang, termasuklah SJKC,” katanya lagi.

Menurut beliau, SK Kampung Bharu Tok Dor, Besut muncul sekolah terbaik apabila 12 orang daripada 18 calonnya mendapat semua A, iaitu 66.67 peratus manakala SK Dusun, Hulu Terengganu terbaik berdasarkan GPS yang diperoleh, iaitu 1.23.

Katanya, secara keseluruhannya, beliau berpuas hati dengan pencapaian yang diperoleh murid negeri ini dan menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil usaha sama pentadbir sekolah, guru-guru, PIBG, pegawai PPD dan Kerajaan Negeri yang bertungkus-lumus memberikan sokongan moral dan kewangan demi melihat kejayaan murid negeri ini.

- SH
logoblog

Thanks for reading Terengganu Ungguli Keputusan UPSR buat Kali Ke-11 Berturut-turut

Previous
« Prev Post

No comments: