Powered by Blogger.

Sunday, December 18, 2011

2 Kanak-Kanak Rentung Kebakaran Rumah Panjang di Kuala Mendalam, Entakong

  NR       Sunday, December 18, 2011
LIMBANG: Mayat kanak-kanak perempuan mangsa kebakaran Rumah Bala Entakong Sungai Mendalam malam Rabu lepas ditemui dengan keadaan terduduk dalam tempayan air manakala mayat kanak-kanak lelaki turut ditemui rentung dalam operasi mencari yang dilancarkan pagi kelmarin.

Dalam kejadian sekitar 11.30 malam itu, mayat Sofizza Kamella Abang, 5, ditemui terduduk akibat terkena haba api selepas cuba untuk menyelamatkan diri dengan memasuki tempayan berisi air manakala mayat Alexiss Jipo Juli, 2, ditemui rentung di dalam bilik tidurnya.

Ketua Operasi Mencari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Limbang Mamat Karim berkata semasa kejadian, Sofizza berjaya dibawa keluar oleh neneknya sebelum api marak meranapkan rumah mereka.

“Selepas berjaya dibawa keluar, Sofizza dikatakan kembali semula ke dalam rumah ketika api sedang marak untuk mengambil barang.

“Dia yang panik akibat terkena haba daripada api tersebut segera memasuki tempayan berisi air di dalam bilik mandi untuk menyelamatkan diri, namun gagal,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Mamat berkata, identiti kedua-dua mayat itu ditemui dan dikenal pasti di dalam rangka rumah yang musnah terbakar itu selepas operasi mencari dilancarkan JBPM, anggota polis dan penduduk kampung keesokan harinya.

“Mayat kedua-dua mangsa sudah dikebumikan selepas pemeriksaan dilakukan oleh pihak hospital ke atas mayat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran membabitkan rumah tersebut pada jam 11.31 malam Rabu lepas.

Katanya seramai lima anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian pada keesokan harinya menggunakan bot kerana rumah panjang itu hanya dapat dilalui menggunakan jalan sungai yang mengambil masa 30 minit perjalanan dari Kuala Mendalam.

“Kami terpaksa mengambil masa yang lama untuk sampai ke lokasi kejadian kerana kedudukannya yang terletak jauh di pedalaman dan hanya dapat dilalui dengan laluan sungai,” katanya.

Menurutnya akibat kebakaran itu, keseluruhan struktur rumah yang menempatkan 31 pintu itu musnah terbakar menyebabkan 195 penghuninya kini tinggal sehelai sepinggang.

“Malah segala persiapan untuk menyambut perayaan Krimas habis musnah dalam sekelip mata dalam kejadian yang menyayat hati itu,” jelasnya.

Mamat berkata punca kebakaran itu sedang disiasat dan anggotanya telah dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Selain itu Unit Forensik dari Kuching akan tiba untuk melakukan siasatan bersama anggota kami di tempat kejadian hari ini (semalam),” katanya.

Rumah panjang yang dibina pada awal 70-an itu antara rumah panjang yang masih mengekalkan ciri-ciri keasliannya.

Sementara itu Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah ketika ditemui semalam menjelaskan bahawa pihaknya sudah menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM31,000 kepada penghuni berkenaan.

Selain Hasbi, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang turut menyerahkan sumbangan berjumlah RM6,200 kepada mangsa terjejas.

Hasbi berkata Jabatan Kebajikan dan Masyarakat (JKM) sudah turun padang menghulurkan bantuan berupa makanan kepada mangsa selain bantuan daripada bomba, polis dan agensi kerajaan lain.

Beliau berkata kebanyakan mangsa kebakaran kini terpaksa menetap bersama jiran terdekat dan saudara mara sementara menanti kediaman sementara dapat dibina.

Selain rumah panjang tersebut, katanya kebakaran itu turut meranapkan sebahagian struktur rumah panjang baru penduduk yang sedang dalam pembinaan.

Pada masa yang sama beliau meminta Pejabat Daerah berhubung dengan Jabatan Pendaftaran bagi membantu menyelesaikan masalah mangsa yang kehilangan dokumen berharga dalam kebakaran tersebut.

“Saya berharap Jabatan Pendaftaran dapat turun padang membantu mangsa terbabit termasuk menguruskan pendaftaran mereka yang kehilangan dokumen penting selepas siasatan siap dilakukan nanti,” katanya.

- UB

logoblog

Thanks for reading 2 Kanak-Kanak Rentung Kebakaran Rumah Panjang di Kuala Mendalam, Entakong

Previous
« Prev Post

No comments: