KUALA LUMPUR - Seramai kira-kira 200 mahasiswa berkumpul dan berarak untuk menyerahkan memorandum berhubung tuntutan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) kepada kerajaan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Ahmad Syukri Abdul Razab berkata, mereka meminta supaya kerajaan tidak meletakkan sebarang sekatan terhadap kebebasan akademik di negara ini.
“Terdapat enam tuntutan dalam memorandum itu antaranya, memansuhkan Auku, menuntut kebebasan akademik, membenarkan mahasiswa untuk bersuara, mahasiswa diberi autonomi untuk menjalankan pilihan raya kampus, hak mengurus tadbir persatuan dan aktiviti serta mahasiswa diberikan kebebasan menyertai politik,” katanya.
Ratusan mahasiswa itu mula berarak kira-kira 2.30 petang, dari stesen transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek hingga ke pejabat Suhakam di Jalan Sultan Ismail dan menyerahkan memorandum kepada Pesuruhjaya Suhakam, Md Sha’ani Abdullah.
Kemudian, mereka terus berarak ke ibu pejabat Umno di Menara Datuk Onn untuk menghantar memorandum kedua yang diserahkan kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
Sementara itu, Muhammad Sha’ani berkata, pihaknya akan menyemak memorandum itu dan ia akan diserahkan kepada pihak berkuasa yang terlibat untuk tindakan.
-SH
No comments:
Post a Comment