Sebahagian pelajar FASA Universiti Malaysia Kelantan yang menyertai lawatan industri ke IBG Bio Ventures Bhd. di Puchong, Selangor, baru-baru ini.
KOTA BHARU 20 Dis. - Seramai 39 pelajar Fakulti Agro Industri dan Sumber Asli (FASA) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyertai lawatan industri ke IBG Bio Ventures Bhd. di Puchong, Selangor baru-baru ini.
Pensyarah Kanan FASA, Dr. Wong Yee Ching berkata, lawatan itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang fungsi tangki fermentor atau bioreaktor dalam penghasilan mikrob bagi pengeluaran baja bio organik.
Menurutnya, pada sesi lawatan itu para pelajar didedahkan dengan proses penghasilan baja berkenaan bermula dari skala makmal, skala loji perintis sehingga skala industri.
"Para pelajar diberi taklimat ringkas mengenai operasi IBG Bio Ventures Bhd. oleh Pengurus Kilangnya, Kenny Lim antaranya meliputi penggunaan bio reaktor untuk menghasilkan jumlah mikrob yang mencukupi dalam medium dan persekitaran yang berbeza.
"Mikrob itu kemudian digunakan sebagai salah satu bahan untuk menghasilkan baja bio organik dalam skala industri. Baja tersebut akan membantu melarutkan mineral-mineral penting ke dalam tanah khususnya fosforus dan kalsium untuk pengambilan tumbuhan," katanya di sini hari ini.
Yee Ching memberitahu, IBG Bio Ventures yang telah menghasilkan produk-produk baja bio organik dengan kerjasama universiti tempatan dan luar negara yang dikatakan lebih mesra alam berbanding baja komersial di pasaran kini.
"Pelajar UMK juga dibawa melawat ke makmal-makmal kimia, mikrob, sains kaji hayat dan R&D yang menjadi tempat uji kaji dan analisis data daripada sampel tanah dan mikrob menggunakan peralatan analitikal," ujarnya.
Tambahnya, sebelum lawatan berakhir, rombongan berkenaan berpeluang melihat dan merasai suasana di saluran pengeluaran syarikat berkenaan secara lebih dekat.
"Saya berharap para pelajar FASA dapat mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh menerusi lawatan industri ini dalam usaha memahami subjek yang mereka pelajari di universiti dengan lebih baik.
"Selain itu, input industri amat penting supaya sesuatu ilmu itu sentiasa dinamik, selain kandungan pengajaran di bilik kuliah tidak terpisah dari dunia luar malah dapat memperkukuhkan lagi persediaan bakal graduan ke alam pekerjaan," jelasnya.
IBG Bio Ventures merupakan sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran dalam perusahaan berteknologi tinggi terutama berkaitan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembuatan baja bio organik serta racun perosak organik.
- Utusan

No comments:
Post a Comment