Powered by Blogger.

Thursday, December 22, 2011

KYS, KUIM Jalin Kerjasama Tawar 2 Program Diploma

  NR       Thursday, December 22, 2011
Kamal Quadra (dua dari kiri) dan Dr. Mohd. Yusoff Hashim (dua dari kanan) bertukar-tukar dokumen sambil diperhatikan oleh Johan Ariffin (tengah) pada majlis memeterai memorandum perjanjian (MoA) di Kota Kinabalu, baru-baru ini.


KOTA KINABALU 20 Dis. - Kolej Yayasan Sabah (KYS) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) memeterai memorandum perjanjian (MoA) bagi menjalankan dua program diploma iaitu Pengajian Islam dengan Pengurusan Sumber Manusia dan Kewangan Syariah.

MoA itu ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pengarah KKYS Sdn. Bhd., Datuk Kamal Quadra dan Naib Canselor KUIM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hashim.

Majlis pertukaran perjanjian itu disaksikan oleh Timbalan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Johan Ariffin dan Ketua Eksekutif KYS, Dr. Dayang Aminah Ali pada majlis menandatangan perjanjian itu di Hotel Le Meridien baru-baru ini.

Kerjasama itu merangkumi usaha untuk meluaskan pengajian peringkat tinggi kepada para lepasan sekolah menengah khususnya pelajar aliran menengah agama dan belia yang berminat dalam pengurusan dan kewangan Islam.

Sementara itu, Kamal berkata, menerusi perjanjian itu, ia akan membolehkan KYS melebarkan sumbangan dan perkhidmatannya melalui penawaran program-program baru.

''Diharapkan perjanjian ini juga dapat membuka ruang dan peluang melalui pelbagai bentuk kerjasama lain pada masa akan datang di antara KYS dan KUIM yang tidak terhad kepada usaha menghasilkan sumber tenaga manusia terlatih semata-mata," katanya

Kamal berkata, program baru itu juga selari dengan objektif kerajaan negeri untuk menawarkan pengajian yang dapat memenuhi pasaran pekerjaan khususnya yang melibatkan sistem ekonomi Islam, perbankan Islam dan konsep pengurusan Islam.

Tambah beliau, ia sekali gus dapat mencapai matlamat Malaysia sebagai pusat halal dalam kegiatan ekonomi, pengurusan dan menyokong dasar perbankan Islam agar menjadi pilihan utama di kalangan pelajar di Sabah.
''Kita mahu membantu lebih ramai pelajar aliran sekolah menengah agama untuk menceburkan diri dalam bidang pengajian yang berkonsepkan Islam di negeri ini.

''Justeru itu, melalui kedua-dua program ini ia diharap dapat dijadikan landasan kepada para pelajar lulusan diploma untuk melanjutkan pengajian mereka di peringkat lebih tinggi," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kamal berkata, kerjasama itu bertepatan dengan hasrat dan aspirasi KYS yang akan memiliki kampus induknya tersendiri menjelang 2013 nanti.

Kolej induk KYS itu boleh menempatkan seramai 4,000 pelajar.

- Utusan


logoblog

Thanks for reading KYS, KUIM Jalin Kerjasama Tawar 2 Program Diploma

Previous
« Prev Post

No comments: