Marah rakan ditahan ketika Operasi Ajar
SEORANG pelajar wanita tempatan berusia 24 tahun ditahan berada dalam bilik bersama seorang daripada 10 lelaki warga Afrika yang dicekup imigresen di Mantin, semalam.
MANTIN: Kira-kira 50 pelajar kolej swasta warga Afrika di sini, bertindak ganas termasuk memukul pegawai penguat kuasa imigresen yang menahan rakan-rakan mereka yang melakukan pelbagai kesalahan dalam Operasi Ajar di apartmen asrama kolej itu di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, kumpulan terbabit yang tidak berpuas hati dengan penahanan lapan rakan mereka mulanya melakukan provokasi lisan terhadap anggota penguatkuasa.
Keadaan terus menjadi tegang apabila provokasi mereka tidak dilayan, menyebabkan beberapa pelajar memandu sebuah kereta dan memberhentikannya di depan trak yang bergerak keluar dari kawasan itu.
Mereka kemudian menjerit memaki hamun hingga berlaku tolak menolak dan beberapa pelajar dilihat memukul anggota penguat kuasa.
Tindakan pelajar terbabit yang semakin tidak terkawal memaksa pasukan operasi yang turut dibantu Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) memberi amaran dan menghalau mereka pulang ke bilik masing-masing.
Ketua Penguat kuasa jabatan itu, Abdul Kadir Hussin, mengakui kumpulan pelajar warga Afrika sering melakukan provokasi setiap kali pihaknya melakukan operasi membabitkan mereka.
"Kami sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan dan bersyukur kita dapat mengawal keadaan dengan bertindak mengikut bidang kuasa kita," katanya di sini, semalam.
Katanya, dua pelajar Afrika berusia lingkungan 20-an ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Beliau berkata, secara keseluruhan seramai 46 warga asing yang sebahagian besarnya warga Afrika ditahan dalam 'Ops Ajar' selama tujuh jam bermula jam 10 malam itu.
Antara kesalahan mereka adalah pas pelajar tamat tempoh, tinggal lebih masa dan memiliki pasport palsu.
Operasi itu disertai 105 anggota termasuk Rela, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).
Turut ditahan dalam operasi itu adalah seorang pelajar wanita tempatan berusia 24 tahun kerana berkhalwat dengan seorang warga Afrika di dalam sebuah bilik di apartmen asrama berkenaan.
Dia diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.
- BH
No comments:
Post a Comment