MELAKA RAYA - Keasyikan 28 pengunjung termasuk enam remaja bawah umur berhibur di sebuah pusat hiburan terkenal di Taman Melaka Raya, di sini, berakhir apabila mereka ditahan polis, awal pagi semalam.
Semua pengunjung berusia 13 hingga 29 tahun itu ditahan selepas didapati memiliki pelbagai jenis dadah ketika serbuan dilakukan di salah sebuah bilik karaoke pusat hiburan tersebut.
Seorang kanak-kanak lelaki berumur 8 tahun turut ditahan bersama ibunya berusia 29 tahun, yang juga pelayan pusat hiburan berkenaan dalam serbuan oleh 13 pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, kira-kira jam 2.45 pagi.
Difahamkan, mereka mula memasuki premis berkenaan menjelang 12 tengah malam untuk meraikan majlis sambutan hari lahir salah seorang daripada mereka.
Bagaimanapun, ia bukan sekadar sambutan hari lahir apabila pelbagai jenis dadah ditemui berselerakan di lantai bilik dan pada salah sebuah beg tangan pengunjung selepas pemeriksaan dilakukan.
Ketua JSJN negeri, Superintendan Md Azmi Othman berkata, operasi yang diketuai Inspektor Risikan/Operasi/Tahanan JSJN negeri, Cif Inspektor Hisham A Rahman itu adalah hasil maklumat orang awam.
Md Azmi berkata, serbuan dilakukan di dalam dua buah bilik berasingan dengan salah satu bilik daripadanya terdapat pengunjung yang sedang khayal melayan muzik techno yang dibawa sendiri pengunjung terbabit untuk dimainkan menggunakan alat pemutar muzik yang disediakan.
“Seramai 32 orang diperiksa dalam dua bilik berasingan, namun hanya 28 ditahan selepas didapati memiliki perlbagai jenis dadah dipercayai syabu, ekstasi dan eramin 5, selain serbuk ketamin yang ditemui berselerakan di dalam sebuah dulang.
“Hasil ujian saringan awal urin dilakukan, seramai 13 orang daripadanya iaitu 12 orang lelaki dan seorang wanita didapati positif pelbagai jenis dadah,” katanya.
Menurutnya, pelayan yang merupakan ibu tunggal beranak dua yang turut membawa anak lelakinya ke pusat hiburan tersebut pula didapati memiliki dan positif dadah dipercayai jenis syabu dan ekstasi.
“Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut di Balai Polis Daerah Melaka Tengah dan disiasat di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1998),” katanya.
-SH
No comments:
Post a Comment