Powered by Blogger.

Wednesday, December 14, 2011

Pendidikan Islam Di SJK (C) Chung Hua Pujut, Miri

  NR       Wednesday, December 14, 2011


MIRI, 13 Dis (Bernama) -- Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran bergema memenuhi ruang dewan terbuka Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK(C)) Chung Hua Pujut baru-baru ini.

Di atas sebuah astaka mini, empat pelajar Islam Tahun Enam sekolah itu khusyuk memperdengarkan bacaan mereka dengar lancar pada sebuah majlis khatam al-Quran.

Biarpun berlangsung dalam keadaan yang amat sederhana, majlis ini tetap unik dan meriah khususnya buat keempat-empat pelajar yang terlibat ekoran latar belakang keluarga mereka yang kesemuanya bukanlah terdiri daripada anak berdarah Melayu tulen.

Bacaan yang diperdengarkan oleh Mohamad Naim Kasri, Shaqeem Valinton, Hijazida Hamdan dan Jhony Mohamad Ali pada hari itu mengesahkan satu lagi pencapaian buat Ali Sagir, guru pendidikan Islam yang mereka kenali sejak pertama kali menjejakkan kaki di sekolah itu enam tahun lepas.

Mesra dengan panggilan Ustaz Ali, guru agama yang berasal dari Pahang itu bangga dengan pencapaian anak didiknya menamatkan pengajian al-Quran mereka sebelum menamatkan pendidikan di sekolah itu.

"Sebenarnya jumlah pelajar Islam Tahun Enam di sini memang sedikit. Biarpun jumlah mereka sedikit, hasrat kami ialah untuk memastikan mereka dapat membaca Al-Quran dengan baik sebelum tamat persekolahan mereka," katanya kepada Bernama.

"Ibu bapa mereka pun beria-ia benar meminta saya mengadakan majlis Khatam Al-Quran di sekolah sebagai tanda pencapaian anak-anak mereka. Jadi kami buat majlis ini dengan kerjasama ibu bapa mereka," katanya.


PERINTIS JQAF DI SEKOLAH CINA MIRI

Ali berkata, SJK(C) Chung Hua Pujut adalah satu-satunya sekolah aliran Cina di Miri yang melaksanakan program jQAF, iaitu program yang bertujuan untuk memperkasa pendidikan Islam melalui penekanan khusus dalam pengajaran Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain.

Bermula dengan hanya beliau seorang di sekolah itu sebagai guru khusus dalam pendidikan Islam, sekolah itu kini mempunyai dua lagi tenaga pengajar bagi membantunya melaksanakan program j-QAF di sana.

Tidak seperti di sekolah kebangsaan di mana kekerapan waktu yang diperuntuk untuk pendidikan Islam adalah enam kali seminggu, Ali berkata di SJK(C) Chung Hua Pujut ia sebanyak empat kali.

Kekerapan ini tidak menjadi penghalang kepada Ali untuk menjalankan tugasnya dan sering kali beliau secara sukarela mengadakan kelas mengaji untuk pelajarnya berikutan permintaan daripada ibu bapa mereka.

"Peranan yang dimainkan oleh ibu bapa pelajar ini juga amat saya hargai kerana mereka amat prihatin untuk memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran agama biarpun berada di sekolah aliran Cina," katanya.

SOKONGAN PENTADBIR SEKOLAH

Ali menyifatkan sokongan yang diberikan oleh pihak pentadbiran SJK(C) Chung Hua Pujut, khususnya guru besarnya, Chuo Kwong Ung serta guru-guru lain telah membolehkannya menjalankan amanah sebagai guru agama sekolah itu dengan baik.

"Mereka amat terbuka setiap kali kami menyuarakan saranan dan sudah sekian lama berada di sekolah ini, saya merasakan kepentingan terhadap pendidikan Islam untuk pelajar-pelajar tidak pernah dipinggirkan," katanya yang telah berkhidmat lebih 10 tahun di sekolah itu.

Seorang lagi tenaga pengajar program itu, Nor Akmal Mohamad Zain berkata beliau mengajar di sekolah itu sejak Februari dan selepas hampir 10 bulan merasakannya sebagai satu pengalaman yang menarik.

Anak kelahiran Kelantan ini, yang merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa dalam bidang ilmu wahyu, pada mulanya agak terkejut menerima arahan untuk ditempatkan di sekolah aliran Cina.

DI MANA BUMI DIPIJAK

"Daripada sejumlah 50 orang pelatih kursus program jQAF ini, saya seorang sahaja yang dihantar untuk mengajar di sekolah aliran Cina dan saya pula tidak ada asas langsung dalam Bahasa Cina," katanya mengingati semula waktu beliau menerima arahan mengajar di sekolah itu.

Bagaimanapun, segala kerungsingan yang dirasakan sewaktu mula menjejak kaki ke sekolah itu hilang apabila beliau tidak mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran yang baru itu.

Menurut Nor Akmal, pelatih di bawah program j-QAF ini akan dihantar ke sekolah dahulu untuk menimba pengalaman praktikal dan semasa cuti sekolah mereka akan kembali untuk berkursus di institut pendidikan guru.

Katanya tempoh latihan beliau akan berlangsung selama 18 bulan sebagai satu daripad syarat untuk diserapkan sebagai guru siswazah terlatih dalam bidang agama.

"Kalau ditakdirkan juga untuk terus mengajar di sini (selepas tamat latihan), saya tidak ada masalah dan suasananya pun agak baik juga," katanya.

-- BERNAMA

 


logoblog

Thanks for reading Pendidikan Islam Di SJK (C) Chung Hua Pujut, Miri

Previous
« Prev Post

No comments: