Powered by Blogger.

Wednesday, December 07, 2011

70 Mahasiswa UiTM Shah Alam Berkampung di Kampung Temenin Baru

  NR       Wednesday, December 07, 2011

MAHASISWA Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Shah Alam gembira bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Panti, Baderi Dasuki (tengah) pada program Jejak Warisan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri Johor di Kampung Temenin Baru, Kota Tinggi, baru-baru ini.


KOTA TINGGI 6 Dis. - Suasana agak berbeza dirasai oleh penduduk Kampung Temenin Baru di sini baru-baru ini, apabila 70 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan 40 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra (SMKBP), Kulaijaya 'berkampung' tiga hari di situ.

Kehadiran mereka disambut mesra oleh penduduk yang teruja menerima 'anggota keluarga' baharu, sekali gus memberikan kesempatan merasai pengalaman hidup bersama di sebuah penempatan tradisional dan melakukan pelbagai aktiviti berkaitan pendidikan serta kemasyarakatan.

Antara aktiviti yang diadakan adalah program selangkah ke universiti dengan tema Mengubah Destinasi Anak Bangsa iaitu motivasi pendidikan untuk pelajar SMKBP, anak-anak dan ibu bapa di tiga lokasi iaitu Sekolah Kebangsaan Sayong Pinang, Dewan Terbuka Kampung Temenin dan Kampung Lukut.

Selain itu, aktiviti yang merapatkan hubungan antara mereka adalah bergotong-royong, perlawanan bola sepak dan bola jaring kampung serta sukaneka dan malam kebudayaan.

Pengarah program, Mohd. Nor Azhar Noor Mohamed, berkata, objektif program adalah untuk mengeratkan silaturrahim antara mahasiswa UiTM dengan masyarakat, serta memupuk semangat kerjasama untuk membantu memajukan kawasan luar bandar.

"Para pelajar kita dapat berkongsi maklumat dan menceritakan pengalaman mereka sehingga berjaya menjejakkan kaki ke menara gading dan membakar semangat pelajar SMKBP untuk mengikut jejak langkah abang dan kakak angkat mereka," katanya ketika ditemui di sini.

Seorang mahasiswa, Noor Syakinah Bidin, 22, berkata, dia yang berasal dari Kampung Changkat Tualang, Gopeng, Perak merasakan satu pengalaman baharu untuk datang ke kampung dan bersama keluarga angkat.

''Ini kali pertama saya menyertai program seumpama ini dan suasana di kampung ini amat cantik dan tenang. Di sini, saya dapat menjalinkan hubungan persaudaraan dan berharap ia tidak akan terputus," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading 70 Mahasiswa UiTM Shah Alam Berkampung di Kampung Temenin Baru

Previous
« Prev Post

No comments: