PUTRAJAYA – Kerajaan tidak bercadang membuka Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) di universiti-universiti awam sebaliknya akan menjual barangan KR1M melalui kedai koperasi universiti.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebagai permulaan kedai koperasi Universiti Malaya dipilih untuk menjual produk KR1M.
Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melawat kedai koperasi di UM pada Khamis ini sebagai mengiktiraf produk KR1M di institusi pengajian tinggi memastikan pelajar IPT turut menikmati harga berpatutan.
“Kita sedang berbincang dengan semua universiti awam di negara ini dan menjangka semua universiti akan menjual barangan Kedai Rakyat 1 Malaysia. Yang pentingnya universiti tersebut ada kedai koperasi,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran “Program Jualan Kembali ke Sekolah” di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata selepas KR1M bertapak kukuh di IPTA, ia akan diperluaskan ke institusi pengajian tinggi swasta.
Projek perintis KR1M telah dilancarkan oleh Perdana Menteri di Stesen LRT Kelana Jaya, Selangor pada 22 Jun lepas dengan menawarkan sehingga 250 jenis barangan keperluan di bawah jenama 1Malaysia.
Harga yang dijual ditetapkan antara 30 peratus dan 50 peratus daripada barangan serupa di bawah jenama lain.
Sehingga kini, empat buah premis KR1M telah beroperasi iaitu masing-masingnya di Stesen LRT Kelana Jaya, Selangor, Pusat Komersil dan Komuniti Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur, Kuarters DBKL, Pantai Permai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur dan Presint 2, Putrajaya.
Kerajaan menyasarkan sebanyak 85 premis KR1M dibuka di seluruh negara sehingga tahun 2012.-BERNAMA
No comments:
Post a Comment