Powered by Blogger.

Thursday, December 22, 2011

Jangan Salah Guna Aplikasi ICT Pusat Siber Rakan Muda

  NR       Thursday, December 22, 2011

AZIZ Hamid (duduk) meninjau kemudahan yang disediakan Pusat Siber Rakan Muda (PSRM) di Taman Kota Kenari, Kulim, Kedah, baru-baru ini.


KULIM 21 Dis. - Golongan muda diingatkan supaya tidak menyalahgunakan aplikasi teknologi, maklumat dan komunikasi (ICT) yang disediakan di Pusat Siber Rakan Muda (PSRM) setempat untuk kegiatan yang merugikan masa.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri, Aziz Hamid berkata, sebaliknya kecanggihan teknologi itu mesti digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat termasuk meningkatkan kualiti hidup dalam menghadapi cabaran dunia global.

"Kita mahu golongan muda menggunakan aplikasi teknologi untuk mengembangkan pengetahuan, kebudayaan malah meningkatkan hubungan dan bukannya kegiatan tidak mendatangkan manfaat.

"Tidak dinafikan, selain mendatangkan faedah, teknologi kini turut disalahgunakan contohnya dengan mengakses pornografi ataupun laman sosial sedangkan masih banyak lagi laman web yang mendatangkan faedah," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan PSRM daerah Kulim di Taman Kota Kenari, di sini baru-baru ini.

Hadir bersama ialah Setiausaha Bahagian Pengurusan Maklumat, Kementerian Belia dan Sukan, Abdul Raof Mohd. Yusof dan Penolong Setiausaha Bahagian Infrastruktur, Aplikasi dan Teknologi Sektor Komunikasi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Ahmad Kamil Zailani.

Aziz berkata, golongan muda juga diingatkan agar tidak mengambil kesempatan daripada perkhidmatan yang disediakan secara percuma oleh kerajaan untuk menimbulkan ketegangan hubungan antara kaum.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, sehingga kini JBS berjaya menubuhkan PSRM di empat kawasan dalam negeri ini iaitu Kulim, Kota Setar, Padang Terap dan Langkawi.

"PSRM adalah pusat yang memberi kemudahan secara percuma kepada orang ramai khususnya generasi muda melayari Internet. Pihak JBS dengan kerjasama Telekom Malaysia (TM) akan menyediakan kemudahan peralatan dan akses Internet, sementara premis pula disumbangkan oleh badan-badan bukan kerajaan ataupun parti politik," katanya.

Pada majlis itu, Aziz turut merakamkan penghargaan kepada Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir kerana sudi membayar sewa bangunan rumah di Taman Kota Kenari sebagai PSRM daerah.

Orang ramai yang berminat menggunakan perkhidmatan internet percuma boleh mengunjungi PSRM Kulim di atas Restoran Mustaffa, Tingkat 1, No. 203, Jalan Kota Kenari.

Pusat tersebut dibuka pada hari Ahad hingga Khamis bermula pukul 2 petang hingga 7 malam dan ditutup pada Jumaat atau hari kelepasan am.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Jangan Salah Guna Aplikasi ICT Pusat Siber Rakan Muda

Previous
« Prev Post

No comments: