Jumatriati Passaddei (kanan) menyampaikan sijil pengiktirafan Heera sebagai syarikat anak angkat program 1MYEC UMS kepada Pengasas Heera, Noreen Ann di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
KOTA KINABALU 29 Dis. - Dalam usaha membentuk usahawan cemerlang, seramai 12 orang mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah terlibat menjayakan projek Kelab Usahawan Muda 1Malaysia (1MYEC).
Melalui program itu, kesemua pelajar berkenaan membentuk satu kumpulan yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Bahagian Perundingan, Pemasaran, Pembangunan Produk dan Kewangan.
Bagi menjayakan program itu, kumpulan yang diketuai Jumatriati Passaddei, 30, itu telah memilih syarikat makanan, Heera Sabah Local Snack Sdn. Bhd. (Heera) yang mengeluarkan kuih tradisional.
Jumatriati berkata, melalui program selama setahun itu, pihaknya akan menggembeling tenaga bagi memajukan lagi syarikat tempatan itu.
"Melalui program ini kita akan membantu syarikat berkenaan dalam pelbagai segi seperti pembangunan produk, pemasaran dan pengurusan.
"Jadi kita berharap selain dapat membantu syarikat ini kita juga akan dapat menjadikannya sebagai panduan dalam membantu syarikat-syarikat mikro lain," katanya pada majlis pengiktirafan Heera sebagai syarikat anak angkat program 1MYEC UMS di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengasas Heera, Noreen Ann dan Pengurus Heera, Azharee Hamed.
Menurut Jumatriati, dalam menjayakan program itu, pihaknya diselia dua pensyarah UMS selain panduan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Students in Free Enterprise (SIFE).
Katanya, pembentangan bagi menentukan keputusan pemenang program yang mendapat penyertaan daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara itu akan dijadual pada Ogos tahun hadapan.
Sementara itu, mahasiswa kursus Pemasaran UMS, Masran Tamin, 24, berkata, dia yang bertanggungjawab dalam bahagian pemasaran akan menggunakan segala ilmu yang dipelajari bagi menaikkan syarikat Heera.
"Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan produk tempatan Heera dapat dipasarkan di seluruh negara dan seterusnya di peringkat antarabangsa.
"Selain membantu Heera, projek ini juga dapat menambah nilai keusahawanan di kalangan semua mahasiswa yang terlibat," katanya.
Dalam pada itu, Husain Abdul Latif berkata, meskipun dari Sekolah Psikologi, beliau yakin dapat membantu meningkatkan lagi perniagaan Heera.
Katanya, dalam membantu syarikat itu dia akan menggunakan segala ilmu dipelajarinya dengan bertindak sebagai perunding kepada syarikat berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Noreen berkata, masalah logistik dalam memasarkan produknya menjadi masalah dalam memperluaskan pasaran pada masa ini.
- Utusan

No comments:
Post a Comment