SHAH ALAM – Program Debat Mahasiswa yang berlangsung malam tadi di Universiti Malaya (UM) menjadi kecoh apabila pengawal keselamatan menyerbu masuk ke dewan tempat berlangsungnya debat.
Kejadian berlaku ketika debat sedang rancak berjalan pada pusingan kedua, tiba-tiba beberapa pengawal keselamatan terbabit bertindak menutup lampu dan meminta supaya perdebatan dihentikan dengan segera.
Setiausaha Agung Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) Khairul Naim berkata, setelah rundingan dilakukan beberapa minit, akhirnya pihak keselamatan memberitahu arahan tersebut datang daripada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UM, Datuk Rohana Yusof.
Menurut Naim, mahasiswa begitu kecewa kerana program itu dianggap mengecam keselamatan kampus sedangkan perdebatan berkenaan adalah bersifat ilmiah.
“Mahasiswa sudah mulai bosan dengan karenah birokrasi pihak HEP yang mengekang program ilmiah seperti ini. Apakah maknanya memegang gelaran mahasiswa tetapi masih perlu mengikut telunjuk universiti saja?
“Kami rasa pihak HEP perlu lihat semula sejarah universiti ini di mana program bersifat mahasiswa bebas yang dijalankan di dalam kampus inilah menjadi punca kejayaan UM dulu,” katanya dalam kenyataan media, di sini.
Debat bertajuk Auku dan Autonomi Mahasiswa itu diadakan di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-undang UM itu dihadiri kira-kira 100 pelajar adalah anjuran bersama Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas).
- SH
No comments:
Post a Comment