Powered by Blogger.

Wednesday, December 07, 2011

Negeri Sembilan Chinese Maternity Hospital & Kolej Berjaya Meterai MoU

  NR       Wednesday, December 07, 2011

Dr. Nellie Tan Wong (dua dari kanan) bertukar MoU dengan Pengarah Akademi Kejururawatan (M) Sdn Bhd, Mae S K Ho (dua dari kiri) di Pusat Perubatan Negeri Sembilan Chinese Maternity Hospital di Seremban, baru-baru ini.


SEREMBAN 6 Dis. - Pusat perubatan Negeri Sembilan Chinese Maternity Hospital (NSCMH) dan Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Berjaya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menyokong usaha kerajaan memantapkan tahap pembelajaran secara praktikal di NSCMH, baru-baru ini.

Presiden NSCMH, Datuk Dr. Nellie Tan Wong berkata, MoU itu antaranya berkaitan program pertukaran pelajar bertujuan mendedahkan mereka dengan pengalaman baru serta menghasilkan jaringan sosial lebih baik antara hospital dan kolej.

"Banyak yang akan dapat dipelajari oleh pelajar kolej melalui program ini kerana pelbagai bentuk rancangan boleh dirangka bagi mencapai matlamat integrasi nasional.

"Antara program yang boleh diadakan adalah menyertai kelas secara praktikal dengan pelbagai kemudahan yang disediakan," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU tersebut.

Menurutnya, usaha awal itu dilakukan dengan penghantaran pelajar ke NSCMH selama satu semester bagi memupuk semangat dan memahami dengan lebih mendalam konsep integrasi nasional yang sebenar.

Jelasnya, pelajar daripada kolej itu akan berada di NSCMH selama empat hingga enam bulan untuk membolehkan mereka mengambil beberapa kursus di samping menyertai aktiviti peringkat kolej serta berpeluang mengenali budaya dan adat resam negeri masing-masing.

"Kita bukan sahaja hendak menukar pelajar tetapi staf akademik dan pentadbiran juga akan diberi pendedahan serupa bagi membolehkan mereka mempelajari sesuatu yang baru di hospital," ujarnya.

Secara tidak langsung, katanya, program itu akan terus menggalakkan mobiliti pelajar kerana mereka perlu diberi pendedahan yang betul serta menyedari kepentingan pertukaran budaya, adat resam serta menimbulkan rasa yakin pelajar untuk mempelajari sistem perubatan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kolej Berjaya, Norashikin Cheong Abdullah berkata, kerjasama itu amat baik kerana pelajar kolej Berjaya juga perlu dihantar ke negeri berlainan untuk belajar dalam persekitaran yang baru serta mendedahkan mereka dengan ilmu yang baru.

"Program ini boleh melaksanakan banyak perkara secara bersama seperti penyelidikan, pertukaran pelajar dan staf serta kerjasama ini akan melahirkan semangat 1Malaysia dan memantapkan integrasi nasional.

"Saya lihat kepakaran kedua-dua pihak boleh digembleng untuk kepentingan bersama kerana usaha berterusan akan menghasilkan kejayaan yang baik bagi kolej ini," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Negeri Sembilan Chinese Maternity Hospital & Kolej Berjaya Meterai MoU

Previous
« Prev Post

No comments: