MELAKA 6 Dis. - Seramai lima murid bertuah dari Sekolah Kebangsaan Banang Jaya (SKBJ), Batu Pahat, Johor yang mendapat keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini, menikmati makan malam di atas bot Melaka River Cruise sambil menyusuri Sungai Melaka, malam semalam.
Guru pengiring, Saufi Mahmood berkata, kesemua pelajar berkenaan dan beberapa guru diberi peluang menaiki bot Melaka River Cruise itu yang ditaja oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.
Menurutnya, ia merupakan satu pengalaman menarik kepada guru dan murid berkenaan yang bukan sahaja dapat menaiki bot, malah, dibawa bersiar-siar ke tempat-tempat pelancongan menarik di sekitar negeri itu.
"Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri kerana menanggung perbelanjaan kami sepanjang lawatan sehari ini," katanya ketika ditemui selepas program tersebut.
Bagi Aina Hiyama Zazuli, 12, dia dan rakan-rakan begitu teruja serta gembira dapat bersiar-siar ke tempat-tempat bersejarah di sini yang sering diiklankan di televisyen.
"Ini adalah pengalaman pertama saya dan rakan-rakan yang lain makan malam di atas bot yang sedang bergerak.
"Pemandangan Sungai Melaka sungguh menarik dihiasi lampu berwarna warni dan sudah tentu ia menjadi kenangan sampai bila-bila," katanya.
No comments:
Post a Comment