PENJARA bukan sekadar sebuah tempat untuk menahan pesalah yang melakukan jenayah tetapi turut berperanan bagi membentuk individu menjadi manusia berguna selepas tamat hukuman.
Pengarah Parol Jabatan Penjara, Timbalan Komisioner Penjara Abdul Aziz Mohamad berkata, persepsi kononnya penjara sebagai tempat menghukum banduan itu perlu diubah kerana fungsi agensi itu begitu luas.
“Wujud struktur pemulihan golongan itu dalam menjalani transformasi sebagai individu berguna sama ada di dalam atau luar penjara.
“Antara pendekatan kami adalah pelaksanaan Program Pemulihan Pemasyarakatan. Di sini banduan dikenali sebagai ‘orang yang diselia’ atau ODS.
“Kami tidak membiarkan banduan meringkuk dalam penjara sehingga selesai menjalani hukuman mereka,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.
Program Pemulihan Pemasyarakatan dilaksanakan berdasarkan pendekatan Strategi Lautan Biru dengan mengaplikasikan cara kreatif dan inovatif dengan kos yang minimum.
Abdul Aziz berkata, sehingga akhir November lalu terdapat seramai 1,743 ODS dan daripada jumlah itu, 577 ODS sudah dibebaskan.
“Fokus utama kami adalah melakukan pemulihan berterusan. Kami meletakkan sasaran dua per tiga banduan menjalani pemulihan di luar penjara,” katanya.
ODS merupakan banduan yang tidak mempunyai kes jenayah berat serta baki hukuman kurang daripada dua tahun.
Mereka menjalani pelbagai aktiviti sepanjang proses pemulihan itu seperti kerja-kerja penyelenggaraan, pertanian dan perikanan serta latihan-latihan vokasional.
Menurut Abdul Aziz, keberkesanan program yang diperkenalkan adalah tiada banduan yang kembali masuk penjara dan diterima dalam masyarakat. “Setakat ini, lebih separuh daripada ODS yang dibebaskan iaitu seramai 293 orang sudah mempunyai pekerjaan.
“Ini menunjukkan bahawa mereka mulai dipercayai masyarakat yang tidak lagi curiga untuk mengambil mereka bekerja malah ada di antaranya sudah boleh berdikari dengan melakukan perniagaan sendiri.
“Jika dahulu masyarakat mempunyai stigma terhadap golongan ini dengan menyifatkan mereka bukan sahaja tidak dipulihkan bahkan tiada kemahiran selepas keluar dari penjara,” katanya.
Beliau menambah, cabaran sebelum ini adalah memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa banduan juga mempunyai ruang dan peluang untuk pulih serta perlu diterima oleh masyarakat seperti orang lain.
“Program Pemulihan Pemasyarakatan membantu mengubah persepsi itu selain persediaan kepada banduan untuk menjalani kehidupan baru selepas dibebaskan,” katanya.
- mStar
No comments:
Post a Comment