Powered by Blogger.

Wednesday, December 07, 2011

Perda Peruntuk RM10,000 Beri Bantuan Persekolahan di Bawah SPKR

  NR       Wednesday, December 07, 2011

ROSMAN Hashim (kanan) memakaikan baju sekolah kepada seorang murid miskin pada majlis penyerahan bantuan pakaian seragam sekolah di Dewan Bakar Kapor, Penaga, semalam.


KEPALA BATAS 6 Dis. - Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) memperuntukkan RM100,000 untuk bantuan pakaian seragam sekolah di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) tahun ini.

Peruntukan itu diagihkan kepada 600 pelajar yang tersenarai di dalam e-Kasih iaitu keluarga berpendapatan rendah di seluruh Pulau Pinang.

Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan) Perda, Rosman Hashim berkata, majlis penyampaian sumbangan itu akan diadakan sebanyak enam siri meliputi semua daerah di negeri ini iaitu Barat Daya, Timur Laut, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah.

Menurutnya, majlis pertama diadakan semalam di Kampung Banggol dekat Permatang Berangan, Tasek Gelugor melibatkan 50 pelajar sebelum diikuti majlis hari ini di Dewan Bakar Kapor, Penaga untuk daerah Seberang Perai Utara melibatkan 147 pelajar.

"Pada 8 Disember ini pula, majlis sama akan diadakan di Pejabat Parlimen Permatang Pauh dengan 116 pelajar sebelum ke Pejabat UMNO Balik Pulau pada 12 Disember dengan 134 pelajar.

"Seterusnya, majlis ini akan diadakan di Dewan Perda Sungai Acheh dengan 112 pelajar pada 14 Disember sebelum berakhir di Dewan Kampung Nelayan Teluk Kumbar untuk 40 pelajar pada 24 Disember," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan itu di Dewan Bakar Kapor dekat Penaga hari ini.

Tambah Rosman, setiap pelajar yang terpilih akan menerima dua pasang pakaian seragam sekolah, dua pasang kasut dan stokin, beg serta tudung bagi perempuan dengan kos sebanyak RM200 bagi pelajar lelaki dan RM250 untuk pelajar perempuan.

Jelasnya, dengan bantuan itu beban ibu bapa untuk membeli pakaian sekolah anak-anak mereka berkurangan dan peruntukan yang ada dapat digunakan untuk membeli alat tulis di sekolah nanti.

Sementara itu bagi seorang bapa, Kamaruzzaman Mohd. Radzi, 41, bantuan yang diterima itu amat melegakan kerana tidak perlu memikirkan perbelanjaan persekolahan empat anaknya yang berusia sembilan, lapan, tujuh dan 13 tahun.

"Dengan adanya sumbangan ini ringan sikit beban saya yang hanya berpendapatan sekitar RM1,000 sebulan untuk membeli pakaian seragam sekolah empat daripada tujuh anak saya.

"Saya bersyukur dengan bantuan ini dan berterima kasih kepada Perda atas sumbangan yang diberikan kepada kami sekeluarga," ujarnya yang tinggal di Kampung Pasir Gebu dekat sini.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Perda Peruntuk RM10,000 Beri Bantuan Persekolahan di Bawah SPKR

Previous
« Prev Post

No comments: