JEMPOL 16 Dis. - Golongan muda sebenarnya mudah untuk didekati sekiranya penyampaian dakwah dilakukan mengikut cita rasa yang memikat hati mereka.
Bekas peserta program Imam Muda (IM) terbitan Astro, Nuri Ali Arbain yang lebih dikenali sebagai IM Nuri berkata, pendekatan dakwah yang menepati gaya pemikiran orang muda mampu menarik minat golongan itu patuh kepada perintah agama.
Katanya, beliau kini menggunakan pendekatan mengikut gaya golongan muda bagi menyampaikan dakwah kepada mereka.
"Seorang ustaz tidak semestinya seorang yang serius sepanjang masa kerana ada ketikanya kita perlu menjadi seperti rakan kepada orang muda.
"Untuk menyampaikan dakwah, kita seharusnya peka dengan suasana terkini agar anak muda selesa dan dapat menerima ajaran itu dengan suasana ceria.
"Tidak salah jika kita membuat lawak dan ketawa ketika menyampaikan ceramah asalkan kita masih berada di landasan yang betul. Ia juga membuatkan golongan muda seronok apabila mendengar ceramah yang kita sampaikan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada Program Pendidikan Ke Arah Anak Soleh dan Solehah di Masjid Jamek Bahau di sini semalam.
Program anjuran Masjid Jamek Bahau itu diadakan selama lapan hari dan melibatkan 120 kanak-kanak berumur lapan hingga 12 tahun sekitar daerah ini.
Seorang peserta, Muhammad Syafiq Che Rosmin, 12, melahirkan rasa bangga apabila berpeluang menjadi peserta program tersebut.
"Kem ini sangat berbeza daripada program yang lain. Biasanya kem yang saya sertai menekankan kepada sukan. Kem ini mendidik saya mendalami ilmu agama.
"Banyak ilmu baru yang saya perolehi antaranya saya berpeluang membetulkan bacaan al-Quran, belajar solat dan cara pengurusan jenazah," katanya.
Rakannya, Shahrul Syazwan Saripudin, 10, pula bercadang untuk menyertai kem itu lagi pada tahun hadapan.
"Ceramah yang disampaikan benar-benar membuatkan saya insaf dan mengingati kedua ibu bapa saya. Ketika mengikuti ceramah yang disampaikan oleh IM Nuri, saya dan rakan menangis apabila mengingati kesalahan yang pernah kami lakukan," katanya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment