Powered by Blogger.

Sunday, December 18, 2011

SKMM Buka 16 PJK & 23 PJL di Sabah Tahun 2012

  NR       Sunday, December 18, 2011

Dr. Yee Moh Chai (tiga dari kiri) diiringi Tengku Zaib Raja Ahmad (tengah) menyampaikan komputer riba kepada seorang penerima di Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 17 Dis. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membuka 16 Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) dan 23 Perpustakaan Jalur Lebar Komuniti (PJL) di negeri ini pada tahun hadapan.

Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, kesinambungan projek itu bertujuan mempergiatkan lagi program peluasan jalur lebar di negeri ini.

"Selain itu, sebanyak 277 lokasi Kampung Tanpa Wayar akan dilancarkan dan lebih 112,000 lagi komputer riba di bawah fasa tiga projek Netbook 1Malaysia akan diedarkan.

"Di samping itu juga, projek peluasan infrastruktur telekomunikasi akan menyaksikan 73 ibu sawat baru dibina di negeri ini," katanya pada majlis pelancaran Karnival 'Siok Bah Broadband' peringkat negeri di Kompleks Sukan Likas di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Perkhidmatan dan Sokongan SKMM, Tengku Zaib Raja Ahmad.
Turut hadir Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Dr. Yee Moh Chai dan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Almain Ajirol.

Sebanyak 6,200 buah komputer riba diedarkan kepada orang ramai sempena karnival dua hari itu.

Menurut Mohamed Sharil, SKMM sentiasa memberi fokus utama kepada Sabah dalam melaksanakan program peluasan jalur lebar.

Jelasnya, sehingga November tahun ini SKMM telah membina 19 PJK, 23 mini PJK dan satu PJL di negeri ini.

Tambahnya, sebanyak 200 ibu sawat telekomunikasi telah dibina di seluruh negeri bagi memberi liputan jalur lebar terbaik kepada seluruh masyarakat.

"Malah lebih 59,000 komputer riba telah diedarkan kepada pelajar dan golongan berkelayakan di bawah projek Netbook 1Malaysia," katanya.

Sementara itu Moh Chai berkata, kerajaan negeri akan terus memberi kerjasama kepada SKMM dalam melestarikan program yang terkandung dalam Inisiatif Jalur Lebar Negara.

"Bagaimanapun saya berharap SKMM dan syarikat-syarikat pemberi perkhidmatan akan terus berusaha melaksanakan projek-projek pembangunan prasarana teknologi maklumat dan komunikasi di negeri ini," ujarnya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading SKMM Buka 16 PJK & 23 PJL di Sabah Tahun 2012

Previous
« Prev Post

No comments: