11 MAC - PESERTA Turki, Halil Ibrahim dinobatkan sebagai
juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2011 bagi
kategori antarabangsa dan peserta dari Malaysia, Amirrudin Abd. Rahman pula
muncul juara kategori nusantara. Hadiah disampaikan oleh Datuk Seri Najib Tun
Razak di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya.
KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) sepanjang
2011 telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membawa perubahan dalam bidang
pendidikan sejajar dengan transformasi negara.
Inisiatif-inisiatif berterusan yang dilakukan
ini dilihat telah berjaya membawa impak besar dalam usaha melonjakkan mutu dan
kualiti pendidikan di Malaysia.
Usaha murni ini bertujuan untuk melahirkan modal
insan yang dilengkapi dengan pelbagai kemahiran penting sebagai bekalan untuk
mereka berhadapan dengan cabaran pendidikan semasa serta pengetahuan berguna
bagi kerjaya di masa hadapan.
Antaranya ialah bantuan persekolahan bernilai
RM2.5 bilion yang diagihkan kepada 16 Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan tujuh
bahagian pengurusan sekolah di bawah KPM.
Selain itu, kerajaan turut memberi Anugerah
Tawaran Baru sebanyak RM7,500 setiap seorang kepada guru besar dan pengetua
yang telah berjaya membawa lonjakan kepada sekolah masing-masing.
Inisiatif Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan
Program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) di bawah Bidang Keberhasilan Utama
Negara (NKRA) juga dilihat memberi impak besar kepada sistem pendidikan negara.
Selain itu, 40,000 guru turut diberikan latihan
dan pendedahan menjadi jurulatih sukan di semua peringkat persekolahan bagi
merealisasikan dasar 1Murid 1Sukan.
Kerajaan juga turut menyediakan wang bantuan
persekolahan bernilai RM100 kepada kira-kira 5.5 juta pelajar sekolah sebagai
wang bantuan khas awal persekolahan.
Sementara itu bagi 2011 juga menyaksikan satu
transformasi di bawah Kemeterian Pengajian Tinggi apabila kerajaaan membuat
keputusan meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971
bagi membolehkan penuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang
yang berusia 21 tahun ke atas menyertai parti politik.
Pindaan tersebut yang diumumkan oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi kebebasan hampir 500,000 penuntut
dalam kelompok usia berkenaan untuk menjadi ahli mana-mana parti politik.
Keputusan itu dibuat bagi menghormati kematangan
dan hak perlembagaan penuntut yang telah mencapai umur mengikut ketetapan
undang-undang.
- Utusan
No comments:
Post a Comment