YAP Pian Hon (duduk, tengah) dan Abdul Rahman Mohd. Amin
(duduk, kiri) menunjukkan surat arahan pemberhentian projek pembinaan SMK
Sungai Ramal di Kajang, kelmarin.
KAJANG 30 Dis. - Tindakan kerajaan negeri
mengarahkan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ramal di sini
dihentikan amat dikesali oleh penduduk sekitar kawasan itu.
Ketua Pusat Perkhidmatan dan Penyelarasan
Kawasan Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon berkata, kerajaan negeri melalui
Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah mengeluarkan surat arahan itu pada
Oktober lalu.
Menurutnya, melalui arahan itu, MPKj turut
mengarahkan supaya kebenaran merancang dipohon semula sedangkan projek tersebut
telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat setelah mematuhi syarat-syarat yang
ditetapkan.
“Apa yang dikesalkan ialah tindakan ini telah menyebabkan
pelajar-pelajar yang tinggal di kawasan terlibat terpaksa terus menanggung
kesulitan.
“Memandangkan tidak ada sekolah menengah di
kawasan itu, mereka tidak ada pilihan lain selain terpaksa bersekolah di Kajang
atau Bangi,” ujarnya pada sidang akhbar yang diadakan di sini semalam.
Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian
Serdang, Mejar (B) Abdul Rahman Mohd Amin dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian
Serdang, Ungku Md. Salleh Ungku Abd. Jamal.
Pian Hon berkata, pada masa ini, kawasan Sungai
Ramal hanya ada dua buah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai
Ramai Dalam dan SK Sungai Ramai Luar.
Beliau berkata, situasi sama turut berlaku di
Bandar Bukit Mahkota, Bangi apabila kerajaan negeri mengeluarkan arahan agar
menghentikan kerja-kerja pembinaan sebuah sekolah rendah di situ.
“Sekiranya kerajaan negeri memikirkan kebajikan
rakyat, mereka tidak akan bertindak sedemikian rupa. Kita melihat tindakan ini
lebih cenderung kepada isu politik,” katanya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment