KUALA LUMPUR: Remaja berusia 15 tahun adalah antara 409 orang
yang terlibat meminjam wang daripada ceti haram atau ‘ah long’, menurut aduan
yang diterima Biro Pengaduan Awam MCA tahun ini.
Ketua biro tersebut Datuk Micheal Chong berkata,
sungguhpun kes peminjam muda ini terpencil namun ia suatu yang serius dan perlu
diberi perhatian supaya golongan remaja tidak terjebak dengan sindiket
berkenaan.
Beliau kesal dengan sikap peminjam wang daripada
ah long ini yang sudah pun menyelesaikan hutang tetapi tidak serik kembali meminjam
walaupun tahu risikonya dan telah dinasihatkan biro itu untuk tidak meminjam
lagi.
Chong juga membidas perbuatan ah long yang
menjadikan anggota keluarga peminjam sebagai mangsa sekiranya tidak mendapat
balik pembayaran daripada peminjam itu sendiri.
Beliau berkata ah long seperti itu tidak
seharusnya menjadikan keluarga peminjam sebagai sasaran sekiranya si peminjam
gagal menjelaskan hutang.
“Kalau hendak menghukum, carilah peminjam itu
sendiri dan bukannya menyusahkan keluarga mereka pula,” katanya kepada
pemberita di sini semalam.
Chong berkata, pihak biro banyak menerima aduan
tentang keluarga peminjam dijadikan mangsa dan diburu ah long apabila gagal
mencari peminjam untuk menagih hutang.
Beliau berkata, peminjam biasanya cuba pelbagai
helah lari daripada melangsaikan hutang malah ada yang terdesak sehingga cuba
merancang penculikan palsu ke atas diri sendiri bagi mendapatkan wang membayar
hutang ah long.
“Diharap peminjam tahu bagaimana menangani
masalah hutang mereka dan tidak menjadikan ahli keluarga sebagai mangsa,”
katanya. — Bernama
No comments:
Post a Comment