Powered by Blogger.

Tuesday, December 13, 2011

Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Canselor USIM

  NR       Tuesday, December 13, 2011

Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud memperkatakan sesuatu kepada penerima anugerah cemerlang dari kiri, Muhamad Firdaus Ab. Rahman, Mohd. Shahrul Faizie Zaini, Mohd. Ashrafulzaim Abdul Wahab dan Ummi Farhan Omar pada Konvokesyen Ke-9 USIM di PICC, Putrajaya, semalam. - mingguan/hanafi khamis


PUTRAJAYA 3 Dis. - Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor wanita kedua Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Baginda dimasyhurkan bagi menggantikan bekas Canselor pertama universiti tersebut, Tunku Ampuan Najihah Tunku Besar Burhanuddin.

Pemasyhuran baginda diumumkan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr. Muhamad Muda yang mewakili Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Majlis Konvokesyen USIM Kesembilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Dalam ucapan perasmiannya, baginda bertitah, sistem pendidikan berteraskan ilmu Islam merupakan pemangkin kepada umat Islam terutamanya yang berada di rantau Asia Tengah.

Titah baginda, jaringan hubungan luar bersama negara Islam lain perlu diperkukuhkan supaya hasrat dan cita-cita tersebut terlaksana.

"Setelah lebih 10 tahun universiti ini membangun, ia telah menjadi salah satu institusi Islam yang disegani di rantau ini kerana graduan USIM bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah dalam bidang kokurikulum.

"Kecemerlangan dalam bidang seperti perbahasan, kesenian dan kebudayaan Islam, sukan dan juga hubungan antarabangsa adalah satu tanda ukur bahawa USIM mampu mengorak langkah lebih maju ke hadapan dalam merealisasikan dasar pendidikan tinggi negara.

"Malahan, cendekiawan yang diasah oleh USIM juga mampu mengorak langkah ke peringkat global dan memperkenalkan pendidikan tinggi berasaskan ilmu naqli dan ilmu aqli," titahnya.

Turut berangkat pada majlis itu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 1,196 graduan berjaya menerima ijazah dalam bidang masing-masing.

Dua graduan turut dipilih menerima Anugerah Pelajaran Diraja iaitu graduan Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam, Mohd. Shahrul Faizie Zaini dan graduan Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa, Muhamad Firdaus Ab. Rahman berdasarkan kecemerlangan mereka dalam bidang akademik dan kokurikulum termasuk aktif dalam perbahasan.

Sementara itu, Anugerah Canselor diberikan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, Ummi Farhana Omar, manakala penerima anugerah Pingat Emas Naib Canselor pula diterima graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian al-Quran dan Sunnah, Mohd. Ashrafulnizam Abdul Wahab.

- Utusan, 04-12-2011
logoblog

Thanks for reading Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Canselor USIM

Previous
« Prev Post

No comments: