SRI AMAN 23 Dis. - Semua sekolah rendah dan sekolah menengah di kawasan Parlimen Sri Aman disarankan supaya mengemukakan permohonan untuk menaiktaraf sekolah masing-masing kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Sri Aman selepas ini.
Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata, ini kerana kerajaan telah memperuntukkan RM3 juta kepada semua kawasan Parlimen di seluruh negara untuk tujuan seperti menaiktaraf asrama, penginapan guru, dewan dan sebagainya.
''Perkara mengenai peruntukan pembaikan sekolah ini telah pun dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong ketika mengadakan mesyuarat bersama kami sebelum ini.
''Kita menjangkakan peruntukan ini akan mula disalurkan kepada setiap sekolah yang memohon bagi tujuan itu pada tahun hadapan bergantung kepada bila Bajet 2012 diumumkan," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Simbolik Penyerahan Cek Replika Bantuan Khas Persekolahan RM100 Untuk Pelajar Sekolah di Parlimen Sri Aman, di sini kelmarin.
Sementara itu, Kujat memberitahu, sejumlah 19 sekolah rendah dalam kawasan Parlimen Sri Aman telah menerima bantuan persekolahan RM100 dengan nilai keseluruhannya mencecah RM500,000.
Katanya, baki sebanyak 17 sekolah rendah dan empat sekolah menengah lagi akan menerima peruntukan itu menerusi Akaun Khas PPD pada Jumaat ini sebelum ia diagihkan kepada sekolah berkenaan pada 28 atau 29 Disember ini.
''Kerajaan telah pun memperuntukkan bantuan khas persekolahan bernilai RM1.1 juta kepada semua sekolah menengah dan sekolah rendah di kawasan Parlimen Sri Aman ini.
''Justeru, saya berharap guru besar atau pengetua sekolah menasihati ibu bapa pelajar supaya bantuan ini tidak disalahgunakan untuk tujuan lain," ujarnya.
Pada masa sama, Kujat turut berharap sekolah-sekolah terbabit tidak memotong wang bantuan RM100 kepada para pelajar seperti yang dilaporkan berlaku di sekolah di Semenanjung sebelum ini.
- Utusan
No comments:
Post a Comment