SETIU 18 Dis. - Masa depan tiga anak yatim piatu di Kampung Merang dekat sini akan lebih terbela dengan penyaluran bantuan bulanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Setiu mulai Januari depan.
Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, Nor Azimah Mohd Zain, 15, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Penarik dan adiknya, Nor Syahira, 12, serta Nor Suraya, 9, di Sekolah Kebangsaan Merang itu akan menerima bantuan RM300 sebulan.
Menurutnya, mereka perlu mengutamakan pelajaran dan bantuan segera sebanyak RM300 akan turut dikeluarkan esok bagi membolehkan mereka membeli keperluan persekolahan.
"Kita menyedari kepayahan yang mereka lalui tanpa ayah dan ibu manakala abang mereka yang masih bujang berpendapatan tidak menentu,'' katanya semasa melawat rumah anak yatim piatu itu bersama Pembantu JKM Setiu, Jalil Idris di Kampung Merang dekat sini, baru-baru ini.
Sejak setahun lalu, tiga beradik itu bergantung hidup kepada abang mereka, Mohd. Shahrizan, 27, seorang awak-awak dengan pendapatan tidak menentu.
Bapa mereka meninggal dunia lima tahun lalu dan disusuli ibu, Azizah Latif, 48, akhir tahun lepas akibat kencing manis.
Selepas kematian Azizah, difahamkan bantuan bulanan JKM untuk keluarga itu terhenti dan akibat kemiskinan serta hidup tanpa ibu dan ayah, membuatkan tiga beradik itu tidak lagi seronok ke sekolah.
Menurut Mohd. Jidin, pihaknya juga akan memberi bantuan bagi membaik pulih rumah mereka yang sebahagian dindingnya sudah rosak.
- Utusan
No comments:
Post a Comment