Powered by Blogger.

Thursday, December 08, 2011

UMS Link, RTM Perkenal Kursus Penyiaran Dokumentasi

  NR       Thursday, December 08, 2011

Jaafar Jaidin (tengah) menunjukkan jersi bola sepak sumbangan UMS Link sambil diperhatikan oleh Roselina Ahmad Shaufi pada majlis penyampaian jersi kepada kontinjen RTM di Politeknik Merlimau, Melaka, baru-baru ini.


KOTA KINABALU 6 Dis. - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui syarikat milik penuhnya UMS Link bakal menawarkan pelbagai kursus kemahiran media meliputi penyiaran, komunikasi, rakaman dan penggambaran dengan kerjasama Jabatan Penyiaran Malaysia (JPM).

Pengarah Eksekutif UMS Link, Prof. Dr. Roselina Ahmad Shaufi berkata, setakat ini kursus-kursus itu banyak ditawarkan oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di Kuala Lumpur iaitu institusi pengajian tinggi di bawah JPM.

"Kita melihat ada permintaan tinggi di Sabah bagi kursus-kursus berkaitan kemahiran penyiaran, komunikasi, rakaman, penggambaran dan dokumentasi.

''Justeru itu, sebagai institusi akademik, UMS Link berperanan membuka peluang pembelajaran berkaitan bidang-bidang tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian jersi kepada kontinjen RTM yang menyertai Sukan RTM Semalaysia di Politeknik Merlimau, Melaka, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif UMS Link, Datuk K.Y. Mustapha. Sumbangan jersi itu oleh Penolong Pengarah Siaran Sabah Vfm, Jaafar Jaidin.

Menurut Roselina lagi, langkah itu dapat disempurnakan dengan usaha sama kalangan tenaga mahir dan berpengalaman di RTM Sabah.

Katanya, UMS mampu menyediakan tenaga akademik dalam bidang penyiaran dan dokumentasi manakala RTM Sabah pula boleh memanfaatkan tenaga kerja berpengalaman dan berkemahiran tinggi mereka untuk merealisasikan program berkenaan.

''Pengetahuan secara teoritikal dapat diberikan oleh ahli akademik UMS sementara selok-belok kemahiran teknikal dapat diberikan oleh kalangan rakan kerja di RTM.

''Jika digabungkan teori dan kemahiran itu, kita memiliki kekuatan untuk memenuhi keperluan bagi melaksanakan kursus-kursus yang berkaitan," katanya.

Sementara itu, Jaafar berkata, RTM dan UMS mempunyai banyak aspek kerjasama yang boleh dijalankan selain daripada penyiaran dan dokumentasi.

Katanya, selaku salah satu entiti kerajaan, pihak RTM bersedia menjalin kerjasama untuk melaksanakan program-program yang dapat meningkatkan penyebaran ilmu dan pengetahuan kepada masyarakat.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading UMS Link, RTM Perkenal Kursus Penyiaran Dokumentasi

Previous
« Prev Post

No comments: