JAAFAR Idris (dua dari kanan) menerima ikrar daripada guru pelatih baharu, Firdaus Salamat (kiri) pada Majlis Penutup Minggu Pengurusan Pelajar Baharu IPGTAA Lipis di Kuala Lipis, baru-baru ini.
KUALA LIPIS 24 Jan. – Seramai 150 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) mendaftar sebagai pelajar baharu bagi mengikuti Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) dan Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) di Institut Pendidikan Guru Tengku Ampuan Afzan (IPGTAA) di sini baru-baru ini.
Seramai 74 guru pelatih DPLI ditawarkan empat bidang kursus iaitu Pendidikan Muzik, Pendidikan Pemulihan, Pendidikan bahasa Cina Satu dan Pendidikan bahasa Cina membabitkan tempoh pengajian selama 18 bulan.
Bagi guru pelatih PPISMP pula, 76 orang akan mengikuti pengajian peringkat ijazah perguruan selama lima setengah tahun dalam kursus bidang Pengajian Bahasa Melayu, Pengajian Sejarah, Pengajian Pemulihan dan Pengajian Bahasa Cina.
Kesemua mereka mengikuti program Minggu Pengurusan Pelajar Baru selama seminggu dan majlis penutup dilakukan oleh Pengarah IPGTAA Lipis, Jaafar Idris.
Jaafar dalam ucapannya meminta mereka memberi fokus kecapaian bidang akademik dan kokurikulum sepanjang tempoh pengajian di institut berkenaan.
“Pengetahuan dan kemahiran perguruan sepanjang pengajian nanti sebagai bekalan untuk membabitkan diri bersama-sama masyarakat sekali gus inovasi tugas yang kritis serta kreatif ke arah melahirkan guru cemerlang,” katanya.
Dalam pada itu, seorang guru pelatih DPLI, Zurina Kassin, 32, berkata, pengalaman sebagai guru GSTT selama tujuh tahun antara bekalan untuk berkongsi dengan guru pelatih lain semasa menuntut di institut berkenaan.
“Saya berterima kasih kepada kepada Kementerian Pelajaran kerana memberi peluang mengikuti latihan di sini dan akan menggunakan segala kesempatan itu untuk menambah pengetahuan serta pengalaman sebelum bertugas sebagai guru sebenar nanti,” katanya.
Seorang guru pelatih PPISMP, Ganesan a/l Mudiandy, 32, berkata, tawaran mengikuti pengajian di sini memberi ruang untuk dia menjalani kerjaya dan kehidupan lebih baik setelah lama berkhidmat sebagai GSTT sebelum ini.
Bagi seorang guru pelatih DPLI, Gan Ying Tit, 25, dari Klang, Selangor, tawaran latihan perguruan di situ menzahirkan pengisian iltizamnya menjadi seorang pendidik dengan mengisi kerjaya profesional pada masa akan datang.
Utusan Malaysia Online: 25 Januari 2012
No comments:
Post a Comment