RAWANG – Mayat dua lelaki Afrika bangsa Botswana berusia 24 tahun
ditemui tertiarap di kawasan kolam mandi Taman Templer dipercayai mati akibat
tergelincir jam 6.40 petang kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai Mokgetthi dan Olatetse
merupakan pelajar Universiti Asia Pasifik dan Lim Kok Wing.
Ketua Umno Cawangan Persiaran Templer, Shamudin
Mohd Khalid berkata, beliau dimaklumkan oleh adik iparnya yang kebetulan ke
tempat kejadian untuk menyelam sebelum menemui mangsa yang tersangkut di batu
tanpa pakaian.
Beliau berkata, ketika di tempat kejadian,
didapati mayat antara satu sama lain hanya dipisahkan sejauh 10 meter bersama
beg yang mengandungi kad pengenalan diri, topi, pakaian, dompet dan kasut
mereka.
“Mangsa kerap datang ke taman rimba ini bersama
dua lagi rakan lain sekitar jam 6 petang namun pada hari kejadian, hanya dua
daripadanya ditemui.
“Selepas jam 6, kita tidak membenarkan pengunjung
naik ke kawasan riadah itu tetapi mangsa mungkin masuk secara senyap untuk
mengelak dihalang kami,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Shamudin berkata, kejadian lemas bukan pertama
kali berlaku di sana malahan pernah membabitkan kes pelancong sesat, kegiatan
maksiat dan samun.
“Insiden ini bukan kali pertama berlaku
memandangkan Taman Rimba Templer tidak mempunyai pengawal untuk menjaga
keselamatan pengunjung sebaliknya hanya bergantung kepada pemantauan penduduk
berhampiran.
“Selepas diambil alih Majlis Perbandaran
Selayang, tiada sebarang kadar bayaran dikenakan kepada pengunjung menyebabkan
kita tiada pengawal tetap diupah untuk membuat rondaan atau pemantauan,”
katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak,
Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan kejadian dan
mengklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga laporan bedah siasat
dikeluarkan oleh Hospital Selayang.
- SH

No comments:
Post a Comment