Powered by Blogger.

Saturday, January 28, 2012

Bekas Pemangku Pengarah KEMAS Negeri Sembilan, Mohd Shukri Didakwa Terima Rasuah

  NR       Saturday, January 28, 2012
MOHD SHUKRI (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Seremban, semalam.

SEREMBAN: Bekas Pemangku Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sembilan, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, terhadap tiga tuduhan rasuah membabitkan pembekalan barangan komputer kepada jabatan itu. 

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Shukri Ibrahim, 47, dari Senawang, di sini, didakwa memperdayakan jabatannya pada 6 Januari 2011 dengan mengesahkan penerimaan barangan dibekalkan oleh Syarikat Strategi Kembar Enterprise, tetapi barangan itu sebenarnya belum diterima.

Tertuduh yang kini bertugas di Bahagian Operasi Khas KEMAS Putrajaya, juga didakwa pada 18 Disember 2010, jam 8.30 malam di Restoran Tomyam Kualimas Senawang dekat sini, menerima suapan wang tunai RM700.

Suapan itu sebagai dorongan melantik Syarikat Strategi Kembar Enterprise sebagai pembekal kepada jabatan itu.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa pada 20 Januari 2011, iaitu jam 8 malam di Restoran Tomyam Kualimas, menerima suapan wang tunai RM2,000 sebagai dorongan mengesah dan meluluskan pembayaran kepada Syarikat Strategi Kembar Enterprise.

Pertuduhan pertama didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala pertuduhan kedua dan ketiga mengikut Seksyen 17(a) akta sama.

Jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama, iaitu hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana satu lebih tinggi. 

Sementara itu di mahkamah sama, pemilik Syarikat Strategi Kembar Enterprise, Mohd Amir Fitri Muharram, 24, dari Taman Paya Rumput, Melaka, turut mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohamad Shukri, memperdayakan KEMAS.

Hakim Nursinah Adzmi menetapkan ikat jamin RM10,000 dan sebutan semula kes pada 24 Februari depan. 

- BH
logoblog

Thanks for reading Bekas Pemangku Pengarah KEMAS Negeri Sembilan, Mohd Shukri Didakwa Terima Rasuah

Previous
« Prev Post

No comments: