Powered by Blogger.

Monday, January 02, 2012

Dua Formula Selesaikan Isu Demonstrasi UPSI - Dr Asri

  NR       Monday, January 02, 2012
SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengadakan satu suruhanjaya bagi menyiasat kontroversi terbaru membabitkan perhimpunan menuntut kebebasan akademik di pekarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) semalam yang bertukar ganas, kata Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Selain itu, pemerhati politik dari Universiti Sains Malaysia ini juga menyarankan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, yang sebelum ini menjadi fokus isu-isu generasi muda dan penuntut universiti, agar mengadakan satu pertemuan antara polis dan mahasisawa yang terbabit dalam perhimpunan bagi mencari jalan penyelesaian.


Asri berkata, beliau telah memberi pendapat itu kepada Saifuddin semalam, beberapa jam selepas insiden di pintu masuk utama Upsi pada awal pagi tahun baru 2012.


"Saya juga telah beri pendapat tadi (semalam) kepada Datuk Saifuddin agar berjumpa dengan ketua operasi polis dan pihak pelajar secara tertutup.


"Siasat. Bawa peguam yang baik untuk bersoal jawab. Mungkin hakikat sebenar dapat ditemui," kata bekas Mufti Perlis ini dalam satu kenyataannya awal pagi ini.


Laporan media menyebut beberapa pelajar pusat pengajian tinggi tercedera manakala 17 orang ditahan polis. Bagaimanapun kesemua mereka yang ditahan telah dibebaskan petang semalam.


Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan menafikan dakwaan anggotanya menggunakan kekerasan ketika menyuraikan perhimpunan anjuran kumpulan penuntut Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).


Shukri berkata dakwaan yang tersebar di beberapa blog mengenai kecederaan dua anggota SMM akibat dipukul Pasukan Simpanan Persekutuan adalah tidak benar dan merupakan fitnah.


Bagaimanapun tindakan polis dikritik beberapa pihak.


Peguam-peguam yang mewakili mahasiswa terbabit bercadang mengadakan tindakan undang-undang.

Asri yang kini merupakan Felo Pusat Pengajian Islam Oxford berkata, bukan semestinya pihak berkuasa bersetuju dengan tuntutan kumpulan mahasiswa yang mengadakan perhimpunan, tetapi mereka tidak wajar diperlakukan sedemikian. 


"Jika mahu tahan, tahan dengan prosedur yang betul, bukan pukul. Menindas mereka hanya membangkitkan sentimen kebencian kepada pihak kerajaan yang nanti tidak dapat diubati lagi.


"Kena ingat apa yang berlaku di Tunisia. 


Suruhanjaya siasatan perlu dibuat. Saya di UK, diberikan pelbagai maklumat dari pelbagai pihak. Ada yang sokong, ada yang marah," katanya yang turut mengulas isu ini menerusi Twitter semalam.


Tambah beliau, "saya juga menjemput sekali lagi anggota polis di mana sahaja, membaca surat terbuka saya kepada polis yang saya tulis beberapa bulan lepas."


"Mungkin ada yang boleh diambil manfaat. Saya sedar polis juga ada tanggungjawab mereka, tapi kena cermat dan teliti," katanya lagi.


Surat itu disiarkan oleh beberapa portal pertengahan tahun lalu ketika isu perhimpunan Bersih 2.0 hangat diperkatakan.


Sambil berkata beliau terkejut melihat beberapa mahasiswa yang menyertai demonstrasi tercedera, Asri berkata, jika terbukti pihak polis yang memukul mereka, ia sesuatu yang malang bagi negara. 


"Apa pun kena siasat siapa yang salah," kata beliau sambil menambah, "saya berpendapat golongan terpelajar mesti diberi ruang bersuara dengan syarat aman daripada (kejadian) rusuhan."


"Jika mereka diganggu atau dicederakan, ia petanda kezaliman sesuatu pemerintahan," katanya lagi.

- SH
logoblog

Thanks for reading Dua Formula Selesaikan Isu Demonstrasi UPSI - Dr Asri

Previous
« Prev Post

No comments: