Powered by Blogger.

Monday, January 16, 2012

RM30 Juta Untuk Sekolah Cina & Tokong di Sabah

  NR       Monday, January 16, 2012

SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman berkata kerajaan negeri akan memberi peruntukan yang besar sejumlah RM30 juta bagi sekolah-sekolah Cina, school mubaligh, tokong-tokong dan lain-lain.

”Ini adalah salah satu usaha kita dan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya pada majlis penyampaian sumbangannya kepada 400 orang masyarakat Tionghua yang bakal menyambut sambutan Tahun Baharu Cina di Pejabat Umno Bahagian Libaran, di sini kelmarin.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, sebelum ini kerajaan negeri menyediakan peruntukan sejumlah RM2 juta hingga RM3 juta kepada sekolah-sekolah Cina, school mubaligh, tokong-tokong dan lain-lain.

”Kita dalam BN tahu masyarakat Cina amat menitikberatkan sekolah-sekolah dan tokong-tokong mereka, jadi kerajaan BN menyediakan peruntukan yang besar bagi keperluan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Musa turut meminta masyarakat Cina agar terus memberi sokongan padu kepada kerajaan BN dalam memastikan pembangunan di negeri ini berjalan lancar.

”Jangan kita mudah terpengaruh dengan cakap-cakap dan janji-janji kosong pihak pembangkang yang mana mereka ini (pembangkang) hanya tahu bercakap kosong bagi meraih simpati,” katanya.

Beliau berkata, ini berbeza dengan kerajaan BN yang mana para pemimpinnya terus bekerja untuk kepentingan rakyat.

”Kita akan terus bekerja dalam memastikan kepentingan rakyat terus terbela dan pembangunan akan terus kita bawa ke setiap kawasan di negeri ini untuk rakyat,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Musa turut mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina kepada semua masyarakat Cina yang hadir.

”Setiap sambutan perayaan yang kita rayakan bersama-sama setiap tahun akan lebih mengeratkan jalinan semua kaum dan ini juga membuktikan perpaduan kaum yang kita amalkan merupakan teras perpaduan 1Malaysia,” katanya.

Turut hadir, isterinya Datin Seri Faridah Tussin; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk James Wong; dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Libaran, Suhaimi Nasir.

- UB
logoblog

Thanks for reading RM30 Juta Untuk Sekolah Cina & Tokong di Sabah

Previous
« Prev Post

No comments: