Powered by Blogger.

Monday, January 16, 2012

Transformasi Pendidikan & Modal Insan Asas Capai Negara Maju - Najib

  NR       Monday, January 16, 2012
PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju tidak akan tercapai jika transformasi dalam bidang pendidikan dan modal insan tidak dilakukan dengan sebaiknya.

Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan jumlah yang besar dalam bidang pendidikan dan ia perlu disokong semua pihak termasuk rakyat bagi merealisasikan hasrat mencapai sebuah negara maju.

“Bidang pendidikan adalah satu bidang keutamaan yang perlu diperjuangkan, yang perlu disuntik dari segi kewangan, prasarana serta sokongan moral semua pihak termasuk rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah cemerlang pelajar UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dan PMR (Penilaian Menengah Rendah) Parlimen Pekan, di sini, semalam.

Najib berkata, sebanyak 22 peratus daripada belanjawan negara setiap tahun adalah diperuntukkan untuk bidang pendidikan, yang membuktikan kerajaan amat menekankan pencapaian cemerlang bidang pendidikan negara.

“Selain itu kita tambah lagi peruntukan menerusi badan-badan dan yayasan, seperti di Pahang, Yayasan Pahang untuk memajukan bidang pendidikan negara, kita juga cari daripada sumber-sumber lain untuk bidang pendidikan, malah peruntukan untuk wakil rakyat juga banyak disalurkan untuk bidang pendidikan,” katanya.

“Apa yang kita ingin capai untuk menjadi sebuah negara maju tak mungkin jadi kenyataan jika kita tidak dapat bangunkan jumlah modal insan, jumlah yang mencakupi dalam bidang-bidang penting,” katanya.

Najib berkata semua lapisan rakyat perlu menyokong hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dengan menekankan pencapaian cemerlang anak-anak mereka dalam bidang pendidikan.

“Ini adalah pelaburan untuk kita mencapai sebuah negara maju dan ia tak mungkin tercapai tanpa memajukan bidang pendidikan.

“Kita tak mungkin mencapai negara maju jika kita tidak buat transformasi untuk membangunkan modal insan, tidak buat transformasi kepada rakyat,” katanya.

Pada majlis itu seramai 328 pelajar UPSR dan 146 pelajar PMR Parlimen Pekan mendapat anugerah pelajar cemerlang yang berupa sumbangan wang tunai berjumlah RM200 setiap pelajar, sumbangan daripada Yayasan Pahang.

Terdahulu ketika berucap pada majlis perasmian pusat komuniti perumahan bersepadu Kampung Padang Rumbia, dekat Paloh Hinai, Najib berkata, usaha transformasi menjadikan negara maju perlulah disokong semua pihak.

“Projek perumahan bersepadu di sini misalnya, mendapat kerjasama daripada pihak kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak swasta, ia satu kerjasama yang baik dalam usaha mentransformasi pembangunan negara ini,” katanya.
Seramai 50 keluarga miskin di kawasan berkenaan yang layak, dipilih untuk menduduki rumah berkenaan secara percuma. — Bernama
logoblog

Thanks for reading Transformasi Pendidikan & Modal Insan Asas Capai Negara Maju - Najib

Previous
« Prev Post

No comments: