Shahrim Adon (empat dari kiri) mengetuai perarakan Sambutan Maulidur Rasul anjuran bersama Kolej Islam Johor dan Kolej Komuniti YPJ di Johor Bahru, baru-baru ini.
JOHOR BAHRU 21 Feb. - Seramai 300 penuntut dan kakitangan Kolej Islam Johor dan Kolej Komuniti Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) menyertai perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah baru-baru ini.
Perarakan yang bermula dari dataran Kolej Komuniti YPJ, di sini ke Dewan Kolej Islam Johor itu diketuai Ketua Eksekutif Kolej Islam Johor, Shahrim Adon; Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pemasaran, Omar Ali dan Pengurus Kolej Komuniti YPJ Johor Bahru, Abdul Basid Talib.
Sementara itu, dalam ceramah sambutan Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Johor, Syeikh Yahya Ahmad mengingatkan golongan belia terutama penuntut supaya menghindari pergaulan bebas dan budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam.
"Ketika ini golongan muda begitu terdedah dengan perkara negatif seperti sambutan Hari Kekasih dan budaya masyarakat Barat yang lain," katanya.
Kata beliau, dengan mematuhi ajaran Islam dan nilai murni yang dibawa Nabi Muhammad SAW, seseorang itu secara tidak langsung menzahirkan rasa cinta mereka kepada Rasulullah dan menghargai perjuangan baginda dalam menegakkan syiar Islam.
"Islam itu sungguh indah. Justeru, marilah kita kembali kepada ajaran Allah dan menjauhi segala kemungkaran dan perkara yang dilarang-Nya," katanya.
Sumber: Utusan

No comments:
Post a Comment