SEBAHAGIAN pelajar yang menjayakan Hari Terbuka Kolej dan Festival Kebudayaan dan Kesenian Citrawarna UiTM bergambar kenangan di Alor Gajah, baru-baru ini.
ALOR GAJAH 21 Feb. - Seramai 3,000 mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka memeriahkan program Hari Terbuka Kolej dan Festival Kebudayaan dan Kesenian Citrawarna Kedua baru-baru ini.
Rektornya, Prof. Madya Datuk Dr. Mizan Hitam berkata, program tersebut dianjurkan secara bersama oleh Unit Kolej serta Kelab Kebudayaan dan Kesenian UiTM bertujuan menghidupkan semula budaya dan kesenian tradisional di kalangan masyarakat.
"Saya pasti penglibatan mahasiswa UiTM dalam mempertahankan warisan kesenian dan kebudayaan Melayu dan masyarakat majmuk di negara ini bukan hanya untuk meneruskan tradisi kesenian negara, malah turut menyahut cabaran kerajaan negeri untuk membantu mempromosikan produk kesenian pelancongan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menutup program itu di UiTM Kampus Alor Gajah di sini baru-baru ini.
Majlis yang berlangsung selama tiga hari dari 17 hingga 19 Februari lalu itu kata Mizan, bukan hanya mampu menyatupadukan hubungan antara penghuni kolej, malah mengisi masa lapang menerusi aktiviti yang lebih sesuai dengan persekitaran dan kehidupan kampus.
Mizan dalam masa sama turut melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti program termasuk berbasikal dan lawatan ke kolej-kolej kediaman penuntut.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan penuntut agar mempertahankan universiti itu serta memelihara kepentingannya sebagai sebuah institusi pengajian ulung terutama di kalangan masyarakat Melayu.
"UiTM adalah benteng terakhir kita, kualiti pengajaran, penawaran kursus, pemberian biasiswa serta kadar yuran yang rendah tidak akan kita jumpa di negara lain, jadi jangan pula kita bertaruh nasibnya.
"UiTM Melaka antara yang ketiga terbaik dalam seluruh sistem UiTM di negara ini. Kita baru-baru ini menjadi kampus terbaik apabila seramai 35 penuntut mendapat Anugerah Naib Canselor dan dari segi tamat pengajian juga UiTM Melaka terbaik.
"Kini anda semua buktikan bahawa kita penuntut cemerlang dalam semua lapangan," katanya.
Sumber: Utusan

No comments:
Post a Comment