Powered by Blogger.

Wednesday, February 22, 2012

50% Penuntut Lepasan Ijazah UTM Mendaftar

  NR       Wednesday, February 22, 2012

SEBAHAGIAN penuntut baharu yang mendaftarkan diri bagi program lepasan ijazah di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor, baru-baru ini. 

JOHOR BAHRU 21 Feb. - Bilangan penuntut lepasan ijazah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hampir mencapai sasaran 50 peratus daripada jumlah keseluruhan penuntutnya pada tahun ini.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr. Zaini Ujang berkata, bilangan itu hampir menyamai jumlah penuntut sarjana muda, apabila seramai 1,235 penuntut baharu program lepasan ijazah mendaftar bagi Semester II Sesi 2011/2012 baru-baru ini, menjadikan bilangan keseluruhannya kepada 10,175 orang pada tahun ini.

“Pendaftaran penuntut lepasan ijazah UTM adalah terbuka sepanjang tahun dan bilangan mahasiswa lepasan ijazah dijangka mencapai 12,000 pelajar pada penghujung 2012.

“Peningkatan itu menghampiri sasaran UTM untuk mengimbangi bilangan jumlah penuntut sarjana muda yang kini berjumlah 12,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zaini berkata, mereka yang mendaftar itu terdiri daripada 94 penuntut program Diploma Lepas Ijazah, 868 bagi program Sarjana dan seramai 273 untuk program Doktor Falsafah (PhD).

Beliau memberitahu, daripada jumlah berkenaan, seramai 537 penuntut adalah rakyat tempatan manakala baki 331 orang adalah penuntut antarabangsa yang terdiri daripada warga Indonesia, Singapura, Iran, Iraq, United Kingdom, Perancis, Kazakhstan, Arab Saudi dan China.

“Mengikut statistik terbaru, Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat menjadi pilihan utama penuntut PhD apabila seramai 47 orang daripada 273 penuntut lepasan ijazah mendaftar mengikuti pengajian di fakulti berkenaan.

“Manakala di peringkat Sarjana, Fakulti Kejuruteraan Awam menjadi pilihan utama apabila seramai 121 orang daripada 868 penuntut mendaftar di fakulti berkenaan,” katanya.

Kata Zaini, peningkatan penuntut lepasan ijazah selaras dengan Pelan Global UTM 2012-2020 untuk melaksanakan konsep Universiti Penyelidikan berasaskan keusahawanan.

Selain itu, katanya, UTM memerlukan lebih ramai penuntut lepasan ijazah mengikuti pengajian secara penyelidikan untuk membolehkan UTM berada pada posisi lebih selesa untuk bersaing dengan universiti ternama dunia.

Sumber: Utusan
logoblog

Thanks for reading 50% Penuntut Lepasan Ijazah UTM Mendaftar

Previous
« Prev Post

No comments: