KUBANG PASU 21 Feb. - Syarikat permotoran, Tan Chong Group (TCG) memilih Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai rakan kolaborasi pintar antara universiti dan industri menerusi penubuhan Tan Chong Centre of Asian Management Studies (TCCAMS) di universiti tersebut, baru-baru ini.
Langkah itu sejajar dengan hasrat untuk mencapai matlamat Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang menekankan perkongsian strategik antara UUM dengan sektor industri itu yang dilaksanakan oleh anak syarikat kumpulan itu, Tan Chong Education Services Sdn. Bhd.
Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak menyifatkan penubuhan TCCAMS itu sebagai satu mercu tanda kepada kerjasama antara UUM dan TCG dalam penyelidikan, pemasaran, pembangunan modal insan dan sumber manusia.
"Kita sedia maklum bahawa Tan Chong Education Services beroperasi lebih setengah abad di Malaysia dalam menjalankan perniagaan selain banyak menyumbang kepada pembangunan negara terutama dalam industri permotoran dan ekonomi negara.
"Justeru pengalaman TCG ini akan memberi faedah kepada penuntut universiti dan pendidikan negara kerana kita juga menghantar penuntut untuk menjalani latihan industri di TCG.
"Begitu juga TCG ada menghantar pengurus-pengurus kanan mereka untuk mengikuti pengajian doktor falsafah (PhD) di UUM," katanya pada majlis perasmian penubuhan UUM-TCCAMS di Pusat Konvensyen UUM, baru-baru ini.
Tambah beliau, kerjasama eksklusif ini juga akan meningkatkan lagi bilangan pemegang PhD dalam bidang industri di negara ini.
Pengurus Besar TCG, Dr. Paul Leow pula berkata, graduan UUM akan mendapat peluang untuk berinteraksi dan melibatkan diri secara langsung dengan TCG iaitu dari projek penyelidikan, latihan industri sehingga kepada program-program pengurusan pelatih.
"Kumpulan Tan Chong akan melibatkan UUM dalam program perkongsian pengetahuan dua hala di mana UUM akan mendapat manfaat daripada kajian kes yang dijalankan.
"Penuntut berpeluang melihat sendiri kerja-kerja praktikal yang akan menjadi satu pengalaman bernilai kepada penyelidikan, kajian kes dan penerbitan mereka," katanya.
Sumber: Utusan

No comments:
Post a Comment