Powered by Blogger.

Tuesday, February 07, 2012

96 Peratus Graduan UPSI Berjaya Diserap Sebagai Guru

  NR       Tuesday, February 07, 2012

TANJUNG MALIM, 2 Feb (Bernama) -- Kira-kira 96 peratus graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya diserap sebagai tenaga pengajar di seluruh negara sejurus mereka tamat pengajian, kata Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa.

Beliau berkata meskipun negara mengalami masalah lebihan guru, namun ia tidak menjejaskan peluang graduan UPSI untuk mendapat pekerjaan dalam bidang perguruan.

Ini kerana UPSI menggunakan pendekatan efisien dan inovatif dalam menjamin graduan yang dilahirkannya mendapat tempat dalam pasaran perguruan dengan memastikan graduan boleh mengajar lebih dari satu subjek, katanya kepada pemberita semasa lawatan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke UPSI Khamis.

"Ketika menuntut dalam jurusan pendidikan tertentu, mereka diajar menjadi guru yang mahir bukan dalam satu subjek sahaja. Contohnya jika Sains adalah mata pelajaran 'major' mereka, mereka perlu memilih satu lagi subjek 'minor'.

"Makanya, bila mereka memohon untuk memasuki bidang perguruan yang mana mungkin tiada kekosongan untuk guru Sains, mereka boleh menjadi guru dalam subjek lain," katanya. Sementara itu, Khaled ketika diminta mengulas mengenai penggantungan lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kedah berkata keputusan yang dibuat oleh KUIN memang dibenarkan mengikut undang-undang.

"Pelajar yang masuk ke universiti, selain menuntut ilmu adalah untuk menjadi manusia yang baik, berdisiplin dan menghormati peraturan undang-undang. Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) ataupun Peruntukan Akta IPTS 1996 (Akta 555) memungkinkan apa-apa tindakan diambil terhadap mana-mana pelajar ingkar yang tertakluk kepada peraturan," katanya.

Lima pelajar KUIN telah dibicarakan dan digantung pengajian kerana didapati terlibat dalam demonstrasi yang membantah pembinaan Sekolah Insan Bestari di KUIN.
logoblog

Thanks for reading 96 Peratus Graduan UPSI Berjaya Diserap Sebagai Guru

Previous
« Prev Post

No comments: