Zainuddin Md. Wazir (kiri) bertukar dokumen perjanjian persefahaman AUCMS dan EBB dengan Weng Yew Wong di Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.
KEPALA BATAS 21 Feb. - Kolej universiti perubatan di utara Semenanjung, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) bakal memiliki televisyen Internet sendiri yang memfokuskan kepada isu-isu perubatan dan sains kesihatan.
Presiden AUCMS, Datuk Dr. Zainuddin Md. Wazir berkata, televisyen internet itu juga bakal memberi manfaat kepada komuniti di sekitar kampus yang mendapatkan perkhidmatan daripada AUCMS selama ini.
Menurutnya, melalui jaringan kampus bersepadu (Unified Campus Network) yang dijalankan secara kerjasama antara AUCMS dan Extreme Broadband Sdn. Bhd. (EBB), satu sistem baru dalam pendidikan bakal dinikmati penuntut dan kakitangan AUCMS.
"Sudah tiba masanya sistem televisyen internet digunakan sebagai alat bantu dalam pengajaran serta memberi pendedahan kepada komuniti di sekitar kampus mengenai bidang perubatan dan sains kesihatan.
"Malah, ia juga akan diperluaskan ke semua kampus AUCMS di seluruh negara iaitu di Kepala Batas, Kangar, Kulim serta akan datang ke Butterworth dan Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian antara AUCMS dan EBB, di sini baru-baru ini.
Melalui kontrak selama lima tahun dengan kos sehingga RM5 juta, EBB akan membekalkan perkhidmatan protokol internet melalui jalur lebar di semua kampus AUCMS serta membolehkan semua penuntut dan kakitangan berhubung menggunakan internet.
Tambah Zainuddin, melalui UCN yang dilancarkan itu, penggunaan jalur lebar sebagai perkakasan utama dalam pembelajaran akan dilaksanakan bermula Mei ini serta bakal memberi manfaat kepada 3,000 penuntut AUCMS.
"Penuntut juga boleh berada di mana-mana lokasi di kampus ini serta kampus cawangan dan boleh berhubung melalui aplikasi internet biasa serta laman sosial Twitter, Facebook dan YouTube.
"Saya berterima kasih kepada EBB kerana memilih AUCMS sebagai lokasi pertama yang disediakan kemudahan ini di Pulau Pinang dan berharap lebih banyak kerjasama dapat dijalinkan dengan mereka," katanya.
Sementara itu Pengarah Urusan EBB, Weng Yew Wong menjelaskan, pihaknya akan menyediakan pusat operasi yang akan menjadi tempat rujukan kepada penuntut sekiranya berlaku sebarang masalah mengenai UCN di kampus terbabit.
Beliau berkata, melalui UCN juga, penuntut dapat berkongsi pendapat serta idea mereka melalui portal Reachout serta menonton video melalui aplikasi sama seperti YouTube.
Sumber: Utusan

No comments:
Post a Comment