LABUAN 21 Feb. - Hubungan erat pihak perbankan dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus diperkukuhkan menerusi pelbagai pendekatan holistik.
Terbaru, Bank Muamalat Malaysia Bhd. (Bank Muamalat) menjalinkan hubungan kerjasama dengan Fakulti Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (SPKAL) universiti berkenaan menerusi penganjuran ceramah pengurusan kewangan Islam di sini.
Pemangku Dekan SPKAL, Prof. Madya Dr. Noarazah Mohd. Suki berkata, penganjuran ceramah yang diadakan di UMS-Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL) melibatkan tenaga pakar yang berkaitan dengan bidang berkenaan.
Katanya, dua sesi ceramah disampaikan oleh Penolong Kanan Timbalan Presiden dan Ketua Unit Pembangunan Perniagaan Bank Muamalat, Ghazali Ismail dan Pengurus Jabatan Syariah Bank Muamalat, Mohd. Izuwan Mahyudin.
Menurutnya, Ghazali menyampaikan ceramah bertajuk Pengurusan Kewangan Islam, manakala Mohd. Izuwan membentangkan tajuk Riba: Kesannya Dalam Kehidupan.
"Jalinan kerjasama ini memberi faedah besar kepada semua pihak, termasuk golongan mahasiswa yang mengambil jurusan perniagaan dan kewangan," katanya di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pengurus Bank Muamalat Cawangan Labuan, Wahab Taif; Penolong Pendaftar Kanan Pentadbiran UMS-KAL, Musnin Mattersah dan Penolong Pendaftar SPKAL, Mas Adi Alimin.
Mengulas lanjut, Noarazah berkata, program julung kali yang diadakan itu merupakan salah satu program khidmat masyarakat kepada warga Labuan.
Menurutnya, ceramah yang berlangsung dua jam itu turut dihadiri oleh 80 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML), pensyarah dan ketua-ketua jabatan kerajaan.
"Program seumpama ini sangat baik dalam memperkembangkan ilmu pengetahuan dan memperkukuhkan hubungan kerjasama antara UMS-KAL dengan agensi luar termasuk pihak perbankan," katanya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment