BARISAN Exco baru MPP PTPL Sarawak melafazkan ikrar pada majlis penganugerahan watikah pelantikan yang berlangsung di Dewan Bakun/Balleh, Kolej PTPL Sarawak di Kuching, baru-baru ini.
KUCHING 21 Feb. - Barisan Exco baru Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) Cawangan Sarawak berazam untuk memberi khidmat terbaik kepada warga kampus sekali gus memanfaatkan kepercayaan yang diberikan kepada mereka.
Yang Dipertuanya, Abdul Haffiz Jamaah berkata, pelantikan dan pemilihan itu adalah kepercayaan daripada rakan seperjuangan yang perlu dibalas dengan khidmat yang terbaik.
Menurutnya, meskipun segala kemudahan sudah tersedia, namun tidak bermakna mereka tidak akan berdepan dengan masalah dan MPP berharap mampu memberi bantuan kelak.
"Pemilihan ini sebagai tanggungjawab yang wajar dibalas dengan khidmat terbaik apatah lagi mereka sudah meletakkan kepercayaan kepada kami.
"Sekiranya ada masalah, penuntut boleh bertemu dengan MPP dan kami pasti sedaya upaya menghulurkan bantuan apatah lagi kewujudan organisasi ini bertujuan menjadi penghubung kepada pihak pengurusan melalui saluran sah," katanya ketika majlis penyampaian watikah pelantikan di Dewan Bakun/Balleh, Kolej PTPL Sarawak di sini baru-baru ini.
MPP Kolej PTPL Sarawak dianggotai 10 penuntut dari pelbagai bidang pengajian yang dipilih berdasarkan kriteria tertentu antaranya keputusan akademik yang baik, aktif dalam aktiviti kokurikulum di samping mempunyai hubungan baik dengan penuntut dan kakitangan kolej.
- Utusan

No comments:
Post a Comment