Pengetua MRSM Terendak, Noor Hassan Hussain (kanan) meraikan kepulangan guru dan pelajar sekolah itu yang memenangi pingat emas dalam Pameran Reka Cipta Remaja Antarabangsa di Sepang, Selangor baru-baru ini.
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Melaka mengharumkan nama negara apabila tiga pelajarnya berjaya memenangi pingat emas dalam Pameran Reka Cipta Remaja Antarabangsa (IYIE) yang diadakan di Tainan, Taiwan baru-baru ini.
Pengetuanya, Noor Hassan Hussain berkata, kejayaan itu sememangnya tidak diduga walaupun pelajar mempunyai azam tinggi untuk menang.
Menurutnya, hasil reka cipta mereka yang menjadikan air garam atau air laut sebagai sumber tenaga alternatif turut mendapat perhatian luar biasa syarikat-syarikat tertentu untuk membeli hak paten reka cipta berkenaan.
"Kami amat berbangga kerana pelajar MRSM Terendak berusaha bersungguh-sungguh mencipta sejarah berkenaan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Pelajar tingkatan lima yang mewakili MRSM Terendak ialah Muhammad Dhiyauddin Asyraf Abd Jalal, Mohd Syafiq Abd Aziz dan Mohamad Nazmi Mohamad Norrizal.
Mereka berjaya menghasilkan sel garam yang mempunyai daya tahan lebih tinggi berbanding sel kering yang terdapat di pasaran.
Sehubungan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut memberikan surat ucapan tahniah kepada pengetua maktab berkenaan melalui Setiausaha Akhbarnya, Azmi Abdul Malek.
Sementara itu, Yang Dipertua Muafakat Ibu Bapa dan Guru maktab berkenaan, Mejar Jeneral Datuk Mazelan Kasap berkata, tujuan dan matlamat penyertaan pameran di peringkat antarabangsa ini adalah untuk memberi pendedahan, pengalaman dan laluan awal kepada pelajar mencipta rekod kecemerlangan dunia.
- Utusan

No comments:
Post a Comment