JAMIL Khir Baharom (kiri) menyampaikan sumbangan kepada anak yatim di Masjid Al-Islah Batu 14, Sungai Daun, Yan, Kedah semalam.
JERAI 19 Feb. - Program Titian Bestari anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Tiga Sungai Daun, Yan dekat sini berjaya melonjak prestasi pendidikan murid-muridnya.
Malah mutu peperiksaan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah tersebut juga menjadi lebih baik hasil program tersebut yang memberi bimbingan dan kelas tambahan kepada murid-muridnya.
Menurut guru besar sekolah terbabit, Norain Mohd. Noor, pihaknya sangat berterima kasih kepada YSB yang mengadakan program tersebut di situ sejak 2004.
"Sehingga kini lebih 120 murid telah terlibat dalam program tersebut sejak 2004. Tidak dinafikan bahawa pencapaian murid-murid lebih baik melalui keputusan UPSR," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan penyampaian sumbangan warga emas dan anak yatim di Masjid Al Islah Simpang Tiga, Yan dekat sini hari ini yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Hadir sama, Pegawai Penyelaras Program Titian Bestari YSB, Fadzhil Ahmad.
Menurut Norain lagi, melalui tuisyen tambahan pihak terbabit turut meningkat prestasi mata pelajaran utama termasuk bahasa Inggeris.
Dalam pada itu majlis merupakan inisiatif ahli jawatankuasa masjid terbabit dan pihak sekolah dengan kerjasama YSB.
- Utusan

No comments:
Post a Comment