Powered by Blogger.

Friday, February 24, 2012

Penyelidik USM Menang Lagi Ekspo Teknologi Malaysia 2012

  NR       Friday, February 24, 2012

Pasukan penyelidik Kampus Kesihatan USM yang memenangi pingat emas bagi penghasilan Oligo-CT Strip pada MTE 2012, (dari kiri) Dr. Chan Yean Yean, Ang Geik Yong, Yu Choo Yee dan Balqis Kamarudin menunjukkan pingat yang dimenangi mereka di Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 23 Feb. - Penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) terus membuktikan keunggulan mereka dalam bidang rekacipta apabila memenangi lapan pingat emas, empat perak dan dua gangsa pada Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2012 baru-baru ini.

Kejayaan itu diperolehi hasil rekacipta penyelidik USM antaranya 'rumah gamat', calitan pengesan taun dan modul senaman pesakit angin ahmar.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman berkata, selain tiada penyelidik yang pulang dengan tangan kosong, universiti juga memenangi anugerah Rekacipta Terbaik melalui modul Reading Evaluation and Decoding System (READS) yang dihasilkan Prof. Abdul Rashid Mohamed dan kumpulan penyelidiknya dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP).

Jelasnya, kejayaan itu merupakan pembuka tirai pencapaian universiti pada tahun ini dan bukti jelas keupayaan USM sebagai sebuah institusi pengajian dan penyelidikan unggul dalam negara.

"Kita akan menilai produk yang mana mempunyai potensi untuk dikomersialkan dan juga bagaimana teknologi yang dihasilkan boleh digunakan sebagai sebahagian input pembelajaran di universiti.

"Produk yang terbaik juga akan dipilih untuk mewakili universiti ke pertandingan teknologi di Korea tidak lama lagi supaya penyelidik mendapat lebih banyak pendedahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Ruang Menunggu Tambahan Pesakit Luar Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bernilai RM100,000 di sini semalam.

Sementara itu, salah satu produk yang memenangi pingat emas adalah Oligo-CT Strip atau calitan pengesan berasaskan DNA yang berupaya mengesan kuman taun dalam sampel najis pesakit dalam masa dua setengah jam berbanding tiga hari melalui calitan konvensional yang diguna pakai masa kini.

Produk yang memakan masa lebih dua tahun penyelidikan itu dihasilkan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) Kampus USM Kubang Kerian, Dr. Chan Yean Yean bersama tiga pelajar doktor falsafah iaitu Ang Geik Yong, 27; Yu Choo Yee, 27, dan Balqis Kamarudin, 28.

Selain Yean Yean, dua lagi penyelidik dari PPSK Kampus USM Kubang Kerian turut melakar kejayaan iaitu Dr. Zuraida Zainun yang mendapat pingat emas melalui modul senaman 'Bal-Ex Stroke' dan Prof. Madya Dr. Farid Che Ghazali yang memenangi pingat perak dengan ciptaan 'La Maison Stichopodidae' iaitu tukun sebagai 'rumah' gamat.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Penyelidik USM Menang Lagi Ekspo Teknologi Malaysia 2012

Previous
« Prev Post

No comments: