Sultanah Nur Zahirah (tiga dari kanan) menyaksikan demonstrasi menenun songket di Kompleks Tuanku Zahirah, Manir, Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU 23 Feb. - Songket, sejenis fabrik yang merupakan salah satu warisan unggul dan paling bernilai, dengan mempunyai tempatnya yang tersendiri dalam masyarakat Melayu.
Dalam keadaan teknologi terbatas, masyarakat Melayu silam memperlihatkan kebijaksanaan untuk menghasilkan suatu yang dianggap unik, indah yang dicorakkan melalui pelbagai motif alam.
Simbol kepada peradaban Melayu itu yang dibimbangi makin pudar termasuk saingan dari luar, cuba dipertahankan oleh kerajaan negeri Terengganu.
Kewujudan Kompleks Tuanku Nur Zahirah (KTNZ) di Tanjung Bunut, Manir dekat sini merupakan salah satu pendekatan.
Kompleks dua tingkat yang dibangunkan dengan kos RM4.6 juta dan mulai beroperasi tahun lalu menjadi salah satu bukti betapa seriusnya kerajaan negeri.
Dibangunkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, ia akan menjadi pusat utama rujukan, pameran, demonstrasi, bimbingan rekaan dan penyelidikan pembangunan fabrik songket.
Melaluinya fungsi songket cuba terus diperluaskan dan tidak sekadar dijadikan pakaian untuk majlis-majlis keraian, istiadat tertentu atau pakaian bermusim.
Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik berkata, kewujudannya akan membantu memberi nafas baru ke arah perkembangan perusahaan warisan itu sekali gus meletakkannya ke tahap yang terbaik dan berprestij.
Menurutnya, KTNZ bertindak sebagai pusat inovasi yang berasaskan tradisi selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan industri songket agar ia boleh menembusi industri zon fesyen eksklusif.
"Sebuah galeri yang diuruskan oleh anak syarikat YPU iaitu Terengganu Institute of Design Excellence (TIDE) juga akan bertindak sebagai inkubator untuk membimbing tenaga muda dengan khidmat nasihat dalam aspek corak, reka bentuk dan fesyen songket," katanya.
Menurut Azmi, kompleks yang dibina berasaskan senibina rumah tradisional Melayu Terengganu terletak di tepi sungai dan bakal menjadi 'penyambut tetamu' Kuala Sungai Nerus apabila ia turut menjadi tarikan pelancong.
"Sebuah pelantar terapung berharga RM500,000 sedang dibina pada jeti kompleks ini bagi memudahkan aktiviti keluar masuk bot serta bakal menjadi produk terbaru river cruise di Sungai Terengganu," katanya.
KTNZ yang dibuka kepada pengunjung pada Ahad hingga Khamis itu meliputi galeri pameran songket kelolaan TIDE dan 17 penenun serta pelatih dari Yayasan Tuanku Nur Zahirah.
Katanya, TIDE sentiasa melakukan penyelidikan seperti penggunaan benang, pewarna, mesin tenun dan kaedah penghasilan supaya para pengusaha songket di negeri ini dapat beralih dari industri desa kepada industri yang lebih kompetitif.
"Peranan yang dimainkan di kompleks ini dapat memberi alternatif kepada pengusaha untuk menghasilkan produk yang mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat ke arah membudayakan songket dan ia tidak menjadikan simbol status semata-mata," jelasnya.
Beliau tidak menafikan masih ada penenun yang mewarisi seni itu di bawah rumah dengan teknik penghasilan terdahulu, tetapi dengan kewujudan kompleks itu ia mampu memberi khidmat nasihat, latihan, kursus untuk tempoh tertentu kepada golongan terbabit.
Sementara itu, kata Azmi, YPU dengan kerjasama Yayasan Tuanku Nur Zahirah akan berusaha untuk merealisasikan kewujudan Institut Kemahiran Sultanah Nur Zahirah di kompleks itu.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan seramai 30 hingga 40 pelatih dapat mengikuti kursus di institut itu dalam satu sesi selama satu setengah tahun dan setiap penuntut akan diberikan elaun sebanyak RM450 sebulan.
"Institut tersebut bukan saja berfungsi sebagai pusat latihan tenunan songket malah, turut mengenal pasti bidang baru yang boleh diteroka dalam industri songket.
"Penubuhan institut itu setanding dengan Institut Kraftangan dan sijilnya juga diiktiraf Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK)," jelasnya sambil merujuk kepada kejayaan Yayasan Tuanku Nur Zahirah melahirkan lebih 40 penenun songket mahir di pusat latihannya di Chendering, dekat sini sejak 2010.
Katanya, kompleks itu turut berfungsi sebagai satu pusat informasi berkaitan songket Terengganu melalui kewujudan galeri, perpustakaan, direktori dan arkib.
"Apa yang penting, ia menggalakkan generasi pelapis mendampingi serta menghayati seni tenunan songket melalui program latihan dan bimbingan," ujarnya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment