BATU PAHAT 28 Feb. - Penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Anika Zafiah Mohd. Rus memenangi pingat emas dan mendapat gelaran Woman Inventor of the Year pada Anugerah Ciptaan dan Inovasi Ke-11 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut laman web UTHM, Anika Zafiah memenangi anugerah itu melalui penyelidikan diketuainya bertajuk Eco-Smart Monomer Converter (ECO-MOC) dalam pertandingan itu yang diadakan sempena Ekspo Teknologi Malaysia (MTE).
Kemenangan itu meletakkan beliau yang berkhidmat di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) sebagai antara penyelidik terkemuka di negara ini dalam menghasilkan penyelidikan yang memfokus kepada teknologi hijau.
Secara keseluruhan, UTHM memenangi tiga pingat emas, lima perak dan tiga gangsa menerusi hasil ciptaan dan inovasi penyelidik-penyelidiknya dalam pertandingan itu.
Pingat emas lain dimenangi oleh pasukan penyelidik diketuai Prof. Rosziati Ibrahim menerusi penyelikan bertajuk Mobisis: Android-Based Application For Sending Message Inside Stego Image Through MMS.
Pasukan penyelidik diketuai Dr. Muhammad Yusof Ismail turut menyumbang emas menerusi penyelidikan bertajuk Miniatured Dual Frequency Planar Array.
Kejayaan UTHM diteruskan apabila gerai pameran universiti itu mendapat tempat kedua dalam penilaian gerai (booth) terbaik.
MTE 2012 dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof dan ekspo teknologi itu mengumpulkan lebih 550 hasil ciptaan dan inovasi termasuk dari luar negara seperti Taiwan, Korea, Nigeria, Poland, Iran dan Arab Saudi.
- Utusan



No comments:
Post a Comment